comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia melantun pada sesi awal urus niaga, didorong aktiviti beli saham murah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi urus niaga Jumaat, dipacu oleh aktiviti memburu saham murah sejajar dengan prestasi positif semalaman Wall Street.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.16 mata kepada 1,384.17 daripada 1,383.01 pada penutup semalam.

Indeks utama dibuka pada paras 1,385.82, menokok 2.81 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 160 berbalas 121, manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,739 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 220.18 juta unit bernilai RM83.38 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beberapa kegiatan pembelian dijangka muncul berikutan perkembangan positif mengenai had hutang AS, justeru beliau menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,385-1,395 hari ini.

Malacca Securities Sdn Bhd pula menjangkakan sikap berhati-hati di pasaran dengan tumpuan beralih ke arah pengeluaran data pekerjaan AS yang mungkin menentukan arah kadar faedah lewat hari ini.

“Pelabur mungkin memberi tumpuan kepada saham berciri defensif menjelang akhir musim pelaporan kewangan. Dari segi komoditi, minyak mentah Brent diniagakan lebih tinggi melebihi US$74 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar di bawah RM3,300,” katanya.

Kebanyakan pasaran ekuiti termasuk Wall Street ditutup lebih kukuh selepas Dewan AS meluluskan rang undang-undang had hutang yang penting untuk mengelakkan kemungkiran.

Loading...
Terkini