comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia meningkat namun susut kemudiannya akibat ketidaktentuan pasaran

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal dagangan Rabu sebelum susut kemudiannya ketika sentimen pelabur kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran yang ketara, kata penganalisis.

Pada 9.10 pagi ini, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.62 mata kepada 1,581.76 daripada paras 1,585.38, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 1.01 mata kepada 1,586.39.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 251 berbanding 168 dengan 321 kaunter tidak berubah, 1,705 tidak diniagakan manakala 45 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 326.71 juta unit bernilai RM136.40 juta.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur pada Selasa berikutan sesi berhati-hati pelabur yang menunggu pengumuman data-data penting berkaitan ekonomi Amerika Syarikat.

Ini termasuk laporan mengenai pendapatan dan perbelanjaan pengguna yang akan memberi lebih banyak gambaran mengenai prospek pendirian berkaitan kadar faedah oleh pihak Rizab Persekutuan (Fed) negara maju itu.

Thong berkata di peringkat tempatan, FBM KLCI menunjukkan aliran penurunan berikutan sentimen pelabur yang terus berhati-hati berikutan kekurangan pemangkin bagi memacu pembelian saham.

“Walaupun perkembangan sedemikian, kami percaya penjualan ini memberi peluang kepada pelabur untuk terus meninjau bagi mendapatkan saham berharga rendah.

“Namun, kami masih kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan pasaran yang meningkat dan menjangkakan indeks penanda aras itu mencatat konsolidasi sehingga petunjuk lebih jelas dapat dilihat,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan indeks penanda aras itu bergerak dalam julat 1,580 hingga 1,590 dalam dagangan hari ini. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini