comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia meningkat pada sesi awal seiring prestasi Wall Street

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka meningkat dalam dagangan awal Selasa, seiring prestasi semalaman Wall Street ketika aktiviti memburu saham-saham berharga rendah kembali rancak selepas tempoh mencabar pada minggu lepas.

Pada 9.16 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.43 mata kepada 1,500.13 daripada paras 1,495.70 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu pasaran dibuka, FBM KLCI menokok 1.47 mata pada 1,497.17.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 336 berbanding 180 manakala 360 kaunter lain tidak berubah, 1,343 tidak diniagakan dan 19 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 605.61 juta unit bernilai RM270.02 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata susulan pemulihan Wall Street, saham teknologi menerajui kaunter untung dengan Nasdaq menokok 320 mata manakala Dow Jones naik 217 mata selepas hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) susut sedikit kepada 4.027 peratus.

Di Hong Kong, katanya, Indeks Hang Seng meneruskan permulaan buruk tahun baharu 2024 apabila merosot 311 mata lagi berikutan prospek untuk China kekal suram.

“Di peringkat tempatan, FBM KLCI sebaliknya meneruskan momentum permulaan yang memberangsangkan bagi tahun ini apabila dana asing terus meningkatkan pegangan dalam ekuiti tempatan.

“Walaupun paras 1,500 mungkin berperanan sebagai rintangan psikologi segera, kami percaya ini sebaliknya akan berakhir dalam masa terdekat ini susulan peningkatan jumlah dagangan harian baru-baru ini,” katanya kepada BERNAMA.

Loading...
Terkini