comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia meningkat semula susulan keputusan fed, inflasi AS reda jana minat belian

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat semula pada pagi Khamis apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memutuskan kadar faedah dikekalkan, seperti dijangkakan banyak pihak, dalam keadaan data inflasi yang semakin menurun sekali gus meningkatkan minat risiko.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.81 mata kepada 1,612.76 daripada 1,608.95 ketika ditutup pada Rabu.

FBM KLCI dibuka 3.63 mata lebih tinggi kepada 1,612.58.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 346 berbanding 163, manakala 357 kaunter tidak berubah, 1,535 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 367.88 juta unit bernilai RM234.62 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan Wall Street ditutup dengan kebanyakannya lebih tinggi apabila Nasdaq meningkat 1.53 peratus selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) AS menunjukkan tekanan inflasi yang perlahan, sekali gus meningkatkan pembelian ke atas ekuiti.

“Walaupun Fed mengekalkan kadar faedah dan mungkin melakukan satu pengurangan kadar pada tahun ini, namun pasaran menjangkakan lebih banyak pengurangan kadar tahun ini disebabkan penurunan angka inflasi,” tambahnya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Biro Perangkaan Buruh AS melaporkan IHP susut kepada 3.3 peratus berasaskan tahunan pada Mei daripada 3.4 peratus pada April.

IHP teras tahunan AS, yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, meningkat 3.4 peratus, lebih rendah daripada 3.6 peratus yang dicatatkan pada April dan anggaran 3.5 peratus.

 

Loading...
Terkini