
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat ketika mengakhiri dagangan minggu ini pada Jumaat susulan prestasi serantau yang positif, sekali gus menamatkan penurunan selama empat hari berturut-turut, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.02 mata kepada 1,450.23 daripada paras 1,448.21 pada akhir urus niaga semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.33 mata kepada 1,445.88 dan bergerak dalam jajaran 1,441.50 hingga 1,450.69 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 504 berbanding 403 manakala 472 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,012 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan merosot kepada 3.13 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 3.25 bilion unit bernilai RM2.13 bilion pada Khamis.