comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia naik pada dagangan awal

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan semula pada dagangan awal, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang positif selepas data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan memberikan harapan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menurunkan kadar faedah tidak lama lagi.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.53 mata kepada 1,604.76 daripada 1,603.23 semalam.Indeks barometer dibuka tinggi 1.15 mata kepada 1,604.38.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 231 berbanding 176 dengan 312 kaunter tidak berubah, 1,649 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 297.48 juta unit bernilai RM195.11 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa indeks dijangka meningkat dan berada antara 1,605 dan 1,615 hari ini selepas Wall Street mencatatkan prestasi yang baik semalam.

Dow Jones naik 350 mata manakala Nasdaq menambah 231 mata, didorong oleh saham teknologi dan hasil 10 tahun AS yang merosot kepada 4.344 peratus.

Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada April meningkat 0.3 peratus, di bawah jangkaan untuk kenaikan sebanyak 0.4 peratus, menunjukkan inflasi meneruskan aliran penurunan pada suku kedua.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, minat belian dijangka terhadap sektor teknologi domestik berdasarkan kenaikan di Wall Street.

“AS yang mengenakan tarif lebih tinggi ke atas produk China dijangka memberi manfaat kepada industri sarung tangan, semikonduktor, perkhidmatan pembuatan elektronik dan industri berkaitan logam.

“Kami turut memilih sektor pembinaan, bahan binaan dan hartanah dengan pemangkin domestik seperti projek infrastruktur mega yang sedang dilaksanakan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini