comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia rendah pada sesi awal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mencatat prestasi sebaliknya berbanding kenaikan selama dua hari berturut-turut apabila dibuka rendah pada sesi awal hari ini ketika sentimen pelabur lebih berhati-hati menjelang pengumuman barisan Kabinet baharu yang dijangkakan dalam masa terdekat ini.

Pada  9.05 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.53  mata kepada 1,483.98 daripada paras penutup semalam pada 1,491.51.

Indeks utama itu dibuka menokok 2.15 mata kepada 1,489.36.

Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 169 berbanding 122 di pasaran meluas manakala 274 kaunter lain tidak berubah, 1,668 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 150.82 juta unit bernilai RM570.26 juta.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan indeks FBM KLCI itu akan berlegar dalam jajaran 1,485-1,500.

Menurutnya, pengimport tempatan terutama syarikat berkaitan produk pengguna dan industri akan mendapat manfaat daripada pengukuhan ringgit yang mengukuh ke paras hampir tertinggi dalam enam bulan berbanding dolar AS pada RM4.40/US$1 susulan kenaikan kadar faedah yang kurang agresif oleh pihak Rizab Persekutuan AS (Fed).

RHB Research pula berkata walaupun risiko politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah mereda, kalangan pelabur sebaliknya terus menunggu perkembangan membabitkan pembentukan Kabinet baharu dan pembentangan semula Bajet 2023.

“Kerajaan Perpaduan ini perlu membuktikan kemampuannya untuk bekerjasama. Oleh itu, kami berpendapat bahawa usaha subsidi dan pembaharuan fiskal akan menjadi ujiannya.

“Kehadiran pemimpin blok Sarawak dan Sabah dalam pentadbiran baharu itu adalah positif bagi tujuan prasarana di Malaysia Timur dan atas dasar itu, tiada alasan untuk berfikiran sebaliknya,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini