comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniagakan rendah pada tengah hari ini berikutan sentimen berhati-hati yang terus menguasai pasaran, dengan indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri sesi dagangan pagi 1.36 mata lebih rendah kepada 1,439. 93 daripada 1,441.29 pada Selasa.

Pasaran memulakan urus niaga dengan dibuka rendah 9.39 mata kepada 1,431.9.

Di pasaran lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 376 berbanding 312 manakala 345 kaunter tidak berubah, 1,268 tidak diniagakan dan 84 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.53 bilion unit bernilai RM727.50 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng menjangkakan sentimen akan kekal berhati-hati dalam tempoh beberapa hari lagi sehingga wujudnya keputusan yang lebih jelas mengenai pemilihan Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan indeks itu mungkin bergerak dalam jajaran 1,430-1,450 hari ini berikutan spekulasi yang berterusan dengan peserta pasaran kekal tidak memasuki pasaran,” katanya.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan rendah 43.37 mata kepada 6,798.85, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.34 mata kepada 178.51, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 1.83 mata kepada 16,173.74 dan Indeks Tenaga pula meningkat 11.63 mata kepada 740.91. – BERNAMA

Loading...
Terkini