comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari, pasaran berhati-hati

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini dalam persekitaran dagangan berhati-hati berikutan prestasi semalaman bercampur-campur Wall Street serta pelabur menunggu laporan pendapatan syarikat minggu ini untuk mendapatkan petunjuk, kata seorang peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.03 mata kepada 1,624.47 daripada 1,627.50 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.88 mata kepada 1,628.38, bergerak antara 1,620.94 dan 1,628.38 semasa sesi dagangan pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 664 berbanding 396, dengan 484 kaunter tidak berubah, 845 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.41 bilion unit bernilai RM1.97 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata keadaan pasaran tempatan secara keseluruhan terus kekal meningkat bagi kebanyakan indeks, melonjak ke arah paras tertinggi dalam 52 minggu kerana dana asing telah menjadikan pembeli bersih sejak minggu lepas, setakat ini.

“Kami percaya momentum pembelian mungkin berterusan kerana Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif yang lebih tinggi ke atas produk China,” katanya dalam nota hari ini.

Selain itu, firma pembrokeran itu berkata sentimen di Wall Street bertukar bercampur-campur dengan Nasdaq mencatatkan paras tertinggi tetapi Dow Jones merosot semasa sesi itu apabila pelabur menilai semula kenyataan daripada pegawai Rizab Persekutuan yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

“Memandangkan Nasdaq telah didagangkan ke paras tertinggi, ditambah pula dengan perang perdagangan yang berterusan antara AS dan China, kami menjangkakan pasaran akan memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan pembuatan teknologi dan elektronik (EMS) di peringkat tempatan termasuk syarikat sarung tangan,” katanya.

Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB tidak berubah masing-masing pada RM9.99, RM4.19 dan RM6.84, Tenaga Nasional menambah empat sen kepada RM12.82, manakala Petronas Chemicals merosot lima sen kepada RM7.04.

Dalam kalangan saham aktif, Ingenieur and DNeX tidak berubah pada lapan sen dan 44.5 sen, Feytech yang baru disenaraikan, naik 29 sen kepada RM1.09, YNH Property melonjak tiga sen kepada 48 sen, dan BCM Alliance menokok satu sen kepada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 23.85 mata kepada 12,374.69, Indeks FBMT 100 merosot 21.02 mata kepada 11,969.07 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 24.78 mata kepada 12,617.62.

Indeks FBM ACE merosot 11.22 mata kepada 5,408.31 dan Indeks FBM 70 berkurangan 25.92 mata kepada 17,755.61.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 30.08 mata kepada 17,697.03, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.47 mata kepada 196.32, Indeks Perladangan berkurangan 72.94 mata kepada 7,327.76 dan Indeks Tenaga menokok 6.28 mata kepada 991.90.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini