
KUALA LUMPUR: Aktiviti pengambilan untung sejak sesi dagangan awal Khamis, terus memberi kesan apabila Bursa Malaysia mencatat dagangan rendah pada tengah hari.
Prestasi itu juga seiringan dengan pasaran serantau yang membuktikan kesan meluas aktiviti pengambilan untung selepas merekodkan aliran peningkatan berturut-turut susulan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan AS akan menangguhkan kenaikan kadar faedahnya.
Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.0 mata kepada 1,461.84 daripada paras 1,466.84, semalam.
Indeks berkenaan dibuka susut 2.06 mata kepada 1,464.78 dan berlegar dalam julat 1,460.58 hingga 1,465.16 sepanjang sesi dagangan itu.
Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 498 berbanding 328 manakala 406 kaunter lain tidak berubah, 1,148 tidak diniagakan dan 24 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.18 bilion yang bernilai RM948.04 juta.