comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia rendah semasa akhiri sesi pagi berikutan pengambilan untung berterusan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah pada Jumaat ekoran pengambilan untung berterusan terutama dalam saham kewangan dan produk perindustrian wajaran tinggi, sekali gus mempengaruhi indeks utama.

Pendekatan berhati-hati pelabur menjelang pengumuman barisan Kabinet baharu menjejaskan lagi sentimen yang suram.

Semasa rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran susut 9.25 mata atau 0.6 peratus kepada 1,482.26 daripada 1,491.51 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks utama itu dibuka 2.15 mata lebih rendah kepada 1,489.36 sebelum bergerak di antara 1,479.70 dengan 1,489.36 sepanjang sesi dagangan pagi.

Lingkungan pasaran bagaimanapun positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 429 berbanding 417, manakala 366 kaunter tidak berubah, 1,021 kaunter tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.70 bilion unit bernilai RM1.05 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd sentimen pasaran terus berhati-hati menjelang pengumuman barisan Kabinet baharu di bawah kerajaan perpaduan yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.

“Memandangkan sentimen telah berubah kepada berhati-hati, begitu juga bagi pasaran saham Amerika Syarikat menjelang pengumuman data pekerjaan di sana, kami menjangkakan Bursa Malaysia akan menunjukkan timbal balik dan momentum dagangan mungkin menurun sepanjang sesi.

“Bagaimanapun, kami (berpandangan) bahawa risiko penurunan boleh dihadkan dengan penarikan balik sekatan COVID-19 di wilayah terpilih di China,” menurut firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini