comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia rendah semasa akhiri sesi pagi 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri sesi pagi, diniagakan dalam jajaran kecil dengan jualan sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih yang menjejaskan indeks barometer, kata peniaga.

Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.22 mata kepada 1,496.23 daripada 1,499.45 sewaktu ditutup pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka rendah 2.04 mata kepada 1,497.41 dan bergerak di antara 1,494.03 dengan 1,497.74 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 475 berbanding 359, manakala 379 kaunter tidak berubah, 1,020 tidak diniagakan dan 37 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berjumlah 2.04 bilion unit bernilai RM954.23 juta.

Seorang peniaga berkata, bursa tempatan meneruskan prestasi semalam yang tidak memberangsangkan dengan diniagakan berhati-hati dalam wilayah negatif sepanjang sesi pagi selain gagal membina momentum positif daripada langkah sebelum Tahun Baharu Cina kerana pelabur tidak memasuki pasaran susulan cuti perayaan.

Bursa Malaysia bertentangan dengan kenaikan di bursa-bursa serantau apabila ekuiti Asia meneruskan peningkatan kerana pelabur berpandangan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan kenaikan kadar faedah yang agresif tidak lama lagi.

Selain itu, beliau berkata saham-saham AS berakhir tidak berubah semalaman berikutan pelabur menilai kelompok terkini keputusan korporat menjelang pengeluaran data keluaran dalam negara kasar AS bagi suku keempat, lewat malam ini.

Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong meningkat 1.73 peratus kepada 22,426.13, Indeks Kospi Korea Selatan menokok 0.86 peratus kepada 2,449.43 dan Indeks Straits Times Singapura menambah 0.43 peratus kepada 3,367.26, manakala Indeks Nikkei Jepun turun 0.31 peratus kepada 27,310.67. – BERNAMA

Loading...
Terkini