
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum peningkatannya pada sesi awal dagangan Isnin, disokong oleh minat belian berterusan terhadap saham wajaran tinggi terpilih serta seiring dengan sentimen positif di pasaran serantau, kata peniaga.
Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.87 mata kepada 1,464.30 daripada 1,463.43, pada akhir dagangan Jumaat.
Indeks penanda aras itu dibuka naik 0.64 mata kepada 1,464.07.
Selain itu di pasaran meluas juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 306 berbanding 184 manakala 316 kaunter lain tidak berubah, 1,518 tidak diniagakan dan 31 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 456.0 juta unit bernilai RM187.33 juta.
Dalam nota penyelidikannya hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata prestasi memberangsangkan Wall Street minggu lepas telah menyaksikan minat belian berkemungkinan turut melimpah ke atas saham tempatan, terutamanya kaunter teknologi.
“Kami juga percaya data pekerjaan AS yang lebih lemah daripada jangkaan sepertimana diumumkan pada minggu lepas menunjukkan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mungkin berpegang kepada kadar faedah semasanya dan memberi sokongan kepada usaha peningkatan pasaran saham.
“Selain itu, bursa tempatan juga dijangka kekal memberangsangkan susulan pelancaran dasar seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya. -BERNAMA