comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Minat belian yang berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya kaunter perladangan dan perkhidmatan kewangan, telah mendorong indeks utama Bursa Malaysia diniagakan tinggi pada tengah hari ini.

Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.42 mata kepada 1,493.22 daripada 1,488.80 semalam.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi dua mata kepada 1,490.80 dan bergerak antara 1,490.54 dan 1,497.24 sepanjang sesi dagangan pagi.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 632 berbanding 329 manakala 365 kaunter tidak berubah, 907 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.35 bilion unit bernilai RM1.49 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur akan menyaksikan momentum belian yang meningkat dalam saham teknologi berikutan kenaikan mendadak dalam Indeks Komposit Nasdaq berikutan naratif daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang kurang menyokong kadar faedah tinggi.

“Selain itu, pelabur dijangka memilih kaunter tenaga berikutan lonjakan harga minyak mentah dan pertumbuhan pendapatan yang positif dicatatkan pada musim pelaporan baru-baru ini,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini