comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari, Maxis, Digi Jadi Tumpuan Pelabur

FOTO: Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengekalkan prestasi tinggi sehingga tengah hari pada Rabu apabila pelabur terus membeli saham yang mengalami penurunan baru-baru ini selain saham wajaran tinggi terpilih, didahului oleh Maxis dan Digi.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.6 mata kepada 1,450.01 daripada 1,444.41 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks barometer itu dibuka 3.16 mata lebih tinggi kepada 1,447.57.

Keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 431 berbanding 320, manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,266 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.45 bilion unit bernilai RM862.40 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata minat pelabur domestik juga dirangsangkan oleh kenaikan kukuh berterusan di Wall Street dengan harapan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) akan kurang agresif dalam menaikkan kadar faedahnya berikutan tanda-tanda ekonomi sedang pulih.

Pasaran saham Amerika Syarikat juga menerima rangsangan daripada peserta utamanya apabila Coca-Cola, General Motors dan Microsoft mencatatkan pendapatan korporat yang lebih kukuh berbanding jangkaan.

“FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat di antara 1,440 dengan 1,455 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pelabur juga memberi tumpuan kepada kaunter bertemakan pilihan raya.

Di pasaran tempatan, Maxis, Digi, IOI Corp dan Dialog masing-masing naik sembilan sen kepada RM3.66, RM3.71, RM4.00 dan RM1.70.

Sime Darby Plantation menokok tujuh sen kepada RM4.49 dan KLK melonjak 44 sen kepada RM21.92.

Betamek yang baru disenaraikan terus mendahului senarai saham paling aktif, melonjak 23 sen kepada 73 sen, diikuti Serba Dinamik yang kekal tidak berubah pada dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 45.28 mata kepada 10,273.67; FBM 70 naik 77.52 mata kepada 12,184.91dan Indeks FBMT 100 menambah 44.48 mata kepada 10,019.30.

Indeks FBM Emas Syariah naik 76.89 mata kepada 10,289.01 dan FBM ACE menambah 19.51 mata kepada 4,850.11.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 8.45 mata kepada 16,496.72; Indeks Tenaga meningkat 3.81 mata kepada 682.17; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 0.58 mata kepada 174.51 manakala Indeks Perladangan melonjak 100.33 mata kepada 6,892.41. – BERNAMA

Loading...
Terkini