comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Bursa Malaysia tinggi semasa awal dagangan

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, didorong sentimen positif susulan prestasi kewangan suku pertama Nvidia dan kenaikan tarif ke atas produk China yang dilaksanakan Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.88 mata kepada 1,625.97 daripada 1,622.09 ketika ditutup pada Selasa.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Rabu sempena cuti umum Hari Wesak.

Indeks barometer itu dibuka 1.43 mata lebih rendah kepada 1,620.66.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 273 berbanding 189, manakala 358 kaunter tidak berubah, 1,569 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 288.40 juta saham bernilai RM137.15 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd prestasi kewangan pembuat cip AS, Nvidia dan tarif AS yang lebih tinggi diijangka memberikan sokongan pembelian yang baik dalam pasaran saham dan mungkin sebagai petanda baik bagi sektor perkhidmatan pembuatan teknologi dan elektronik.

“Selain itu, kami berpendapat industri pembinaan, bahan binaan, hartanah dan solar dijangka mencatatkan dagangan lebih tinggi susulan potensi penyambungan semula projek infrastruktur mega seperti Kereta Apli Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) serta keyakinan terhadap pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Firma pembrokeran itu turut menjelaskan di AS, sentimen pasaran keseluruhan bertukar negatif selepas minit mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) menunjukkan tekanan inflasi kekal berterusan dan pasaran telah sedia mempertimbangkan kemungkinan Fed mengekalkan pendirian cenderung kepada kadar faerah tinggi dalam tempoh terdekat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini