comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

CBP yakin mampu beri dividen tinggi

Co-opbank Pertama Bhd (CBP)

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama Bhd (CBP) yakin dapat memberikan pembayaran dividen yang tinggi bagi tahun kewangan 2022 berdasarkan kepada prestasi ekonomi ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, berkata pada prestasi kumpulan pada tahun kewangan 2022 adalah memberangsangkan dengan kadar pendeposit dan pembiayaan yang tinggi.

Beliau berkata, kadar pembayaran dividen itu dijangka akan diumumkan pada akhir suku kedua 2023 selepas mendapat kelulusan pemegang taruh dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Berdasarkan prestasi tahun kewangan 2022, kami yakin dapat memberikan dividen yang baik,” katanya selepas majlis pengumuman dividen untuk Akaun Deposit Koperasi, Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) kepada Pendeposit (Koperasi) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Umar Sarim Saidin dan Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi.

Pada tahun kewangan 2021, CBP membayar dividen berjumlah RM58.93 juta, yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya sejak 1950.

Kadar dividen bersih bagi 2021 adalah 6.82 peratus bagi syer keutamaan (iRCPS) manakala 6.10 peratus bagi syer biasa dan setanding dengan jumlah dividen yang dibayar oleh dana pelaburan lain di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, CBP turut mengumumkan dividen ADK-KWRS kepada pendeposit (Koperasi) sebanyak 2.28 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM2.9 juta.

Mengulas mengenainya, Baharom berkata, sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 281 buahkoperasi telah mendepositkan ADK-KWRS di CBP dengan jumlah terkumpul sebanyak RM190 juta.

Beliau berkata, jumlah pendeposit ADK-KWRS ini telah meningkat kepada 281 buah koperasidaripada 196 buah koperasi pada 2021 dengan peningkatan sebanyak 43 peratus manakala jumlah keseluruhan deposit meningkat sehingga 91 peratus.

“Ini menunjukkan sektor koperasi terus kekal utuh walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Malah, sehingga Februari 2023, jumlah deposit akaun ADK-KWRS sudah meningkat melebihi RM202 juta dan ia adalah satu prestasi yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Baharom berkata, CBP menyasarkan sebanyak RM250 juta deposit menjelang akhir tahun ini, selari dengan sasaran pihak SKM.

Beliau berkata, justeru itu, beberapa program termasuk roadshow sedang dirancang dan akan diadakan di seluruh negara bagi mempromosikan ADK ini kepada setiap koperasi.

Katanya, walaupun jumlah itu semakin meningkat tetapi peratusan koperasi yang mendepositkanADK-KWRS masih rendah berbanding jumlah keseluruhan koperasi sekitar 15,000 koperasi.

“CBP bersama dengan SKM mengharapkan agar lebih banyak lagi koperasi dapat mendepositkan ke dalam ADK-KWRS demi kebaikan gerakan koperasi di negara ini.

“Banyak kelebihan kepada koperasi jika mendepositkan ke dalam ADK-KWRS. Selain boleh meraih dividen, mereka juga boleh melaksanakan pembiayaan dengan CBP,” katanya.

CBP telah dilantik sebagai Pengurus Dana ADK-KWRS sejak 12 September 2019 bagi tempoh lima tahun bermula dari 2019 hingga 2024.

Ia inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Koperasi oleh SKM bagi memperkasakan Gerakan Koperasi Kebangsaan.

BHONLINE

Loading...
Terkini