comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Cuaca panas lonjak harga minyak sawit

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2024 dijangka lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya dengan purata satu tan antara RM3,900 hingga RM4,200.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata keadaan cuaca panas ketika ini memberi kesan kepada pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan seterusnya memberi kesan kepada bekalan minyak sawit dunia.

“Cuaca panas atau El Nino sememangnya memberi kesan kepada hasil sawit. Namun, kesan El Nino terhadap hasil bergantung kepada intensiti El Nino itu.

“El Nino yang kuat seperti berlaku pada 1997/98 memberi kesan ketara kepada hasil sawit, manakala El Nino lemah hingga sederhana tidak begitu memberikan kesan kepada pengeluaran sawit.

“Penilaian oleh Pusat Ramalan Iklim iaitu Climate Prediction Center/NCEP/NWS dan International Research Institute for Climate and Society melalui laporan berkala pada Januari dan Februari lalu menunjukkan El Nino yang berlaku ketika ini dicirikan sebagai kuat dan matang, menunjukkan intensiti signifikan dengan kesan yang ketara terhadap corak cuaca dan keadaan laut,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Parveez berkata, fenomena ini dilihat mula melemah dan peralihan daripada El Nino kepada El-Nino Southern Oscilation (ENSO) neutral dijangka berlaku pada April hingga Jun ini.

Beliau berkata, ketika ini purata hasil BTS bagi Januari hingga Februari masih menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama 2023.

Katanya, peningkatan purata hasil BTS bagi dua bulan pertama ini menyokong dapatan kajian yang mengatakan El Nino tidak memberikan kesan serta-merta kepada pengeluaran sawit kerana suhu panas melampau lebih menjejaskan proses pendebungaan.

“Pokok yang mengalami tekanan, terutama dari segi cuaca menghasilkan lebih banyak bunga jantan dan mengurangkan hasil pengeluaran sawit.

“Oleh itu, kesan terhadap pengeluaran BTS akibat cuaca panas dijangka hanya dapat dilihat pada suku keempat ini.

“Jangkaan bekalan terhad akibat cuaca ini akan mendorong kenaikan harga MSM,” katanya sambil menambah satu lagi faktor mempengaruhi kenaikan purata harga MSM tahun ini adalah jangkaan bekalan minyak sawit dunia yang terhad lanjutan daripada pelaksanaan mandat biodiesel B35 di Indonesia.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Parveez berkata, cadangan Kementerian Perladangan dan Komoditi untuk melaksanakan model kluster pekebun kecil adalah satu idea yang baik ke arah memodenkan sektor pekebun kecil.

“Saya berpandangan ia boleh dilaksana dan memerlukan sedikit masa memandangkan kebun milik pekebun kecil adalah berselerak. Ia juga memerlukan usaha bersepadu antara agensi berkaitan.

“Sebagai langkah permulaan untuk mengkelompokkan pekebun kecil, MPOB sedang mengorak langkah membentuk estet mini dalam kalangan pekebun kecil persendirian di Bera.

“Estet mini ini akan diuruskan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Bera dan KPSM Bera akan melaksanakan aktiviti penjagaan kebun, penuaian dan penjualan BTS ke kilang,” katanya.

Beliau menambah, pembentukan estet mini membolehkan kebun milik pekebun kecil diurus secara berkesan dengan penekanan kepada amalan pengurusan baik dan adaptasi mekanisasi bagi meningkatkan pengeluaran BTS, seterusnya menambah pendapatan pekebun kecil.

“Jika pembentukan estet mini ini berjaya, MPOB akan memperluaskan ke lokasi yang akan diuruskan KPSM daerah masing-masing,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini