comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Cukai barang bernilai rendah adil kepada syarikat tempatan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai jualan 10 peratus bagi pembelian barang bernilai rendah (LGV) dalam talian bermula 1 Januari depan adalah satu langkah yang baik untuk menyediakan satu ekosistem perniagaan lebih adil antara syarikat pembuatan tempatan dan luar negara.

Penganalisis industri, Nazri Hamdan, berkata keadaan pasaran sudah tidak sama seperti dulu yang kini semakin bergerak ke arah liberalisasi dan terbuka.

Beliau berkata, keadaan itu seterusnya menjadikan dasar cukai semasa sudah tidak relevan kerana dengan dasar cukai sekarang, tiada duti import akan dikenakan jika harga barangan itu adalah di bawah RM500.

“Namun, ia tidak adil kepada pengeluar tempatan. Sebagai contoh pengeluar tempatan yang mengeluarkan lampu dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus sedangkan barang yang sama dari China tidak dikenakan cukai.

“Jika keadaan ini dibiarkan, lama kelamaan ia akan menjadikan industri tempatan tidak kompetitif dan berpotensi untuk pupus. Oleh itu, untuk menjadikan keadaan pasaran lebih adil, LGV sebanyak 10 peratus dikenakan, iaitu dengan kadar yang sama dengan cukai jualan 10 peratus yang dikenakan kepada pengeluar tempatan,” katanya.

Nazri memberikan contoh satu masa dahulu kedai lampu akan membeli secara borong dari China dengan jumlah yang besar dan peniaga juga memerlukan modal yang besar, namun keadaan telah berubah kerana dengan kemunculan e-dagang, pasaran lebih terbuka luas.

“Kini, saya boleh beli sebiji lampu terus dari China kerana usahawan dari rumah pun boleh menjadi ‘affiliate’ dan tidak perlu memegang stok dengan hanya perlu membuat pemasaran dan barang itu akan terus dihantar dari China. Usahawan ‘affiliate’ juga tidak perlukan modal yang besar seperti mana peniaga tradisional.

“Ditambah lagi, dengan dasar cukai yang ada sekarang, barang yang berharga di bawah RM500 tidak dikenakan duti import. Keadaan ini dipanggil ‘de minimis facility’. Ini membolehkan barang yang dibawa masuk dari negara luar menjadi murah,” katanya.

Mengulas lanjut, Nazri berkata langkah jangka panjang yang lebih baik adalah dengan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang membolehkan LGV juga akan diselaraskan.

“Sebagai contoh, jika kerajaan mengenakan GST pada enam peratus, maka tiada sebab cukai LGV dikekalkan pada 10 peratus. Ia akan turun juga kepada enam peratus. Oleh itu. GST perlu dilaksanakan demi menyeleraskan cukai-cukai barangan di masa depan,” katanya.

Loading...
Terkini