comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Cukai gula, Nestle rumus semula produk

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Bhd dijangka merumuskan semula produknya dengan mengurangkan kandungan gula supaya berada dalam lingkungan had tidak bercukai susulan pelaksanaan cukai gula berkuatkuasa November 2022, demikian kata HLIB Research.

Dalam Bajet 2022, kerajaan bercadang meluaskan pelaksanaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh.

Dalam nota penyelidikannya, HLIB Research berkata, langkah Nestle mengurangkan kandungan gula dalam produknya itu juga adalah sejajar dengan komitmen pengeluar produk makanan dan minuman berkenaan untuk menghasilkan produk yang lebih sihat dan berkhasiat bagi memenuhi cita rasa tempatan.

“Kami difahamkan bahawa peruntukan dan hapus kira inventori dalam sembilan bulan 2022 berjumlah RM38.4 juta adalah untuk bahan mentah dan pembungkusan. Ia berikutan perumusan semula untuk beberapa produknya berikutan pelaksanaan cukai gula yang akan berkuat kuasa pada November 2022.

“Nestle telah merumuskan semula produknya untuk mengurangkan kandungan gula dalam lingkungan had tidak bercukai. Ini selaras dengan komitmen kumpulan untuk menghasilkan produk yang lebih sihat dan berkhasiat yang memenuhi cita rasa tempatan,” katanya.

HLIB Research berkata, Nestle juga baru-baru ini memperkenalkan botol kitar semula polyethylene terephthalate (PET) untuk beberapa pembungkusan produknya.

Ia berkata, walaupun kos kitar semula PET yang lebih tinggi berbanding botol plastik biasa, kumpulan itu komited dalam mengembangkan lagi penggunaan pembungkusan mesra alam.
Katanya, Nestle adalah yang pertama di Malaysia yang menggunakan damar plastik kitar semula berkualiti tinggi untuk produk sedia untuk diminum (RTD) dalam format botol plastik.

“Kumpulan itu juga telah menghapuskan pembalut pengecutan plastik sekali guna untuk produk Milo UHT 125 ml, menggantikannya dengan kertas kitar semula 100 peratus sumber mampan, dan berusaha untuk memperluaskan inovasi ini ke seluruh rangkaian UHT,” katanya.

HLIB Research berkata, walaupun pembetulan harga baru-baru ini, pengurusan Nestle juga menjangkakan harga komoditi akan kekal tinggi dalam masa terdekat dan menegaskan bahawa syarikat itu masih beroperasi dalam persekitaran yang sukar.

Cabang penyelidikan Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) itu berkata, walaupun inisiatif penjimatan dan dasar lindung nilai dalaman dilaksanakan, ketidaktentuan harga komoditi yang berpanjangan menyebabkan marjin menguncup ke tahap terendah 27 peratus berbanding purata 30 peratus-35 peratus.

“Walaupun dengan pelaksanaan beberapa pusingan kenaikan harga, pengurusan memberi jaminan bahawa kenaikan harga yang dilaksanakan adalah sederhana dan kumpulan itu akan tetap perlu menyerap sedikit tekanan kos.

“Ini adalah untuk memastikan produk Nestle kekal berdaya saing dalam pasaran,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini