comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dagangan borong dan runcit tumbuh kukuh, cecah RM133.9 bilion pada Oktober

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh 15.2 peratus tahun ke tahun kepada RM133.9 bilion pada Oktober 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan tersebut disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM12.0 bilion atau 26.0 peratus kepada RM58.3 bilion.

“Perdagangan borong dan kenderaan bermotor juga masing-masing berkembang sebanyak 7.3 peratus (+RM4.1 bilion) kepada RM59.9 bilion dan 11.2 peratus (+RM1.6 bilion) kepada RM15.7 bilion,” katanya dalam kenyataan Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit Malaysia Oktober 2022, hari ini.

Beliau berkata bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit susut -0.1 peratus yang didorong oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang masing-masing turun -3.5 peratus dan -0.3 peratus.

Bagi prestasi mengikut subsektor, Mohd Uzir berkata pertumbuhan subsektor perdagangan runcit meningkat sebanyak 26.0 peratus pada oktober 2022, disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang naik 25.7 peratus atau RM4.4 bilion kepada RM21.6 bilion.

“Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan jualan subsektor ini meningkat 1.1 peratus, terutamanya disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan, jualan runcit di kedai pengkhususan dan jualan runcit bahan api kenderaan masing-masing sebanyak 1.4 peratus, 2.1 peratus dan 1.1 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor perdagangan borong, beliau berkata penyumbang utama kenaikan 7.3 peratus itu adalah lain-lain pengkhususan jualan borong yang tumbuh 3.1 peratus atau RM0.7 bilion kepada RM22.7 bilion.

Bagaimanapun perbandingan bulan ke bulan menunjukkan nilai jualan subsektor ini menurun -0.3 peratus disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang menguncup -1.8 peratus.

Menurutnya, pertumbuhan 11.2 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor pada Oktober telah diterajui oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, sebanyak 49.2 peratus atau peningkatan RM1.3 bilion kepada RM4.0 bilion.

“Ini diikuti oleh penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor yang melonjak 62.4 peratus atau RM0.8 bilion kepada RM2.1 bilion manakala bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini turun 3.5 peratus akibat penguncupan jualan kenderaan bermotor sebanyak 5.9 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, indeks jualan runcit melalui Internet bagi Oktober 2022 merekodkan pertumbuhan 17.3 peratus tahun ke tahun (September 2022: 16.6 peratus) dan bagi pelarasan musim, ia naik 2.6 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Oktober 2022 mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus yang disumbangkan oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor yang masing-masing meningkat 22.3 peratus dan 3.0 peratus, katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, perdagangan borong juga mencatat pertumbuhan positif 0.8 peratus.

“Namun, bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun 2.3 peratus bulan ke bulan,” kata beliau. – BERNAMA

Loading...
Terkini