comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dagangan Bursa Malaysia terus turun

Foto hiasan

KUALA LUMPUR:Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah, sejajar dengan kelemahan yang dialami oleh kebanyakan pasaran serantau utama selepas dipengaruhi isyarat negatif secara meluas daripada prestasi semalaman Wall Street, kata seorang peniaga.

Pada waktu rehat tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.81 mata kepada 1,466.94 daripada 1,470.75 pada penutupan urus niaga Rabu.

Pagi ini, Indeks utama dibuka 0.55 mata lebih tinggi pada 1,471.30.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 493 berbalas 276, manakala 401 kaunter tidak berubah, 1,004 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 1.91 bilion unit bernilai RM997.59 juta.

Dalam satu nota, Public Investment Bank Bhd berkata sentimen pelabur bertukar berhati-hati selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memberi ulasan bahawa kadar faedah AS perlu dinaikkan untuk memerangi inflasi.

“Saham mewah Standard dan Poor 500  berakhir 1.1 peratus lebih rendah kerana peniaga masih bimbang kadar mungkin naik lebih tinggi daripada yang dijangkakan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berpendapat saham mewah sudah matang untuk dikumpulkan terutama tatkala memasuki musim pendapatan korporat, yang mana kedua-dua sektor perbankan dan telekomunikasi diyakini menunjukkan prestasi yang kukuh pada 2022.

“Untuk hari ini, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,470-1,480,” katanya dalam nota kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing susut dua sen kepada RM8.62 dan RM8.23, CIMB kerugian satu sen kepada RM5.39, manakala Public Bank menokok tiga sen kepada RM4.15 dan TNB menambah satu sen menjadi RM9.52.

Bagi saham aktif,  Zen Tech International dan SMTrack turun setengah sen setiap satu untuk mencatatkan 5.5 sen dan 4.5 sen,  ATA IMS naik setengah sen kepada 36 sen, manakala MY E.G. Services serta Hong Seng Consolidated tidak berubah, masing-masing pada 71.5 dan 20 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 30.50 mata kepada 10,709.09, Indeks FBMT 100 menguncup 30.11 mata menjadi 10,376.09 sementara Indeks FBM Emas Syariah turun 45.88 mata kepada 11,052.81.

Indeks FBM 70 pula jatuh 52.95 mata kepada 13,636.18 dan Indeks FBM ACE susut 21.49 mata kepada 5,768.35.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.35 mata kepada 189.63, Indeks Tenaga lemah 9.30 mata menjadi 884.52, Indeks Perladangan turun 17.79 mata kepada 6,882.53, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 3.25 mata kepada 15,951.31.

BERNAMA

Loading...
Terkini