comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dagangan Malaysia lebih RM2 trilion tiga tahun berturut-turut

Landskap ekonomi global yang mencabar pada 2023 telah memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa -Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Perdagangan Malaysia pada 2023 melepasi aras RM2 trilion bagi tiga tahun berturut-turut berjumlah RM2.637 trilion meskipun berdepan dengan landskap ekonomi global yang tidak menentu.

Jumlah yang dicatatkan itu, bagaimanapun merosot 7.3 peratus berbanding 2022, sejajar dengan pengurangan dalam permintaan global, harga komoditi yang lebih rendah, ketegangan geopolitik yang berpanjangan, kadar inflasi yang tinggi, penurunan dalam kitaran semikonduktor dunia serta kesan asas yang tinggi direkodkan pada tahun lalu.

Eksport terus melebihi aras RM1 trilion untuk tahun ketiga berturut-turut dan mencapai 82.4 peratus daripada unjuran yang ditetapkan bagi 2025 di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) meskipun jumlahnya menguncup lapan peratus kepada RM1.426 trilion pada 2023.

Sementara itu, import bagi 2023 mencatat satu lagi pencapaian baharu dengan melepasi aras RM1 trilion untuk kali kedua, namun pengurangan sebanyak 6.4 peratus kepada RM1.212 trilion berbanding 2022.

Malaysia mengekalkan lebihan dagangan yang ke-26 tahun berturut-turut sejak 1998, bernilai RM214.1 bilion.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, landskap ekonomi global yang mencabar pada 2023 telah memberi kesan kepada perdagangan antarabangsa termasuk prestasi perdagangan Malaysia yang mencatatkan pengurangan.

“Ini dilihat selari dengan rakan dagang utama yang lain seperti China, Taiwan, Korea dan Indonesia yang turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan negatif,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2023, rakan dagang utama Malaysia adalah ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun yang mewakili 67.7 peratus syer daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Walaupun prestasi eksport dicatat lemah pada 2023, kenaikan eksport ketara telah direkodkan ke beberapa pasaran baharu seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Maghribi, Puerto Rico, Namibia dan Kyrgyzstan.

Eksport ke beberapa pasaran Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) turut merekodkan pertumbuhan terutamanya ke Republik Korea (ROK), Australia, Mexico, Türkiye dan New Zealand meskipun eksport keseluruhan ke negara rakan dagang FTA menyusut.

Loading...
Terkini