comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dana Tekun : LKAN 2022 dedah isu bayaran balik usahawan, tiada NOD dikeluarkan 

KUALA LUMPUR : Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 mendedahkan pengurusan dana dan aktiviti pembiayaan bagi lima program dan skim Tekun Nasional  kurang memuaskan.

Lima program dan skim itu adalah Tekun – Bumiputera, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) 2.0, Skim Pembiayaan Usahawan Informal (SPIN) 2.0 dan Tekun Mobilepreneur 4.0.

 

Setakat 31 Disember 2021, dana bagi dua program disalurkan kepada usahawan mengikut peruntukan iaitu CBRM 2.0 dan SPIN 2.0.

“Semakan lanjut terhadap 15 usahawan CBRM 2.0 mendapati lima (33.3 peratus) daripada 15 usahawan tidak lagi menjalankan perniagaan; kesemua 15 usahawan tidak membuat bayaran balik mengikut jadual; 10 usahawan (66.7 peratus) mempunyai tunggakan enam bulan ke atas dan Tekun Nasional tidak mengeluarkan notis tuntutan (NOD) kepada usahawan ini.

“Menerusi analisis audit juga, keseluruhan dana program CBRM 2.0 iaitu RM50 juta sudah disalurkan kepada 4,075 usahawan dalam 2021.

”Namun data dikemuka Tekun Nasional pula menunjukkan pencapaian penyaluran pembiayaan CBRM 2.0 ialah RM49.86 juta dan disalurkan kepada 4,063 usahawan. Perbezaan yang dicatatkan berjumlah RM142,000 dan 12 usahawan,” katanya.

Bagi SPIN 2.0, hasil semakan mendapati enam (40 peratus) daripada 15 usahawan tidak lagi menjalankan perniagaan; kesemua 15 usahawan tidak membuat bayaran balik mengikut jadual; 11 usahawan (73.3 peratus) mempunyai tunggakan enam bulan ke atas, dan Tekun Nasional tidak mengeluarkan NOD kepada usahawan ini.

Bagi tiga lagi program pembiayaan, LKAN mendapati ia sudah disalurkan kepada usahawan melebihi peruntukan iaitu berjumlah RM189.13 juta.

Program terbabit adalah Tekun – Bumiputera, iaitu penyaluran RM374.63 juta (187.3 peratus) dengan lebihan sebanyak RM174.63 juta.

Manakala, SPUMI, RM30.44 juta (152.2 peratus) merekodkan lebihan RM10.44 juta.

“Program Tekun Mobilepreneur 4.0 pula (melibatkan penyaluran) RM9.06 juta (181.2 peratus) dengan lebihan RM4.06 juta,” katanya.

Secara keseluruhannya, LKAN mendapati peruntukan berjumlah RM325 juta yang diterima bagi lima program ini sudah disalurkan sepenuhnya kepada usahawan dalam tempoh dua hingga lapan bulan.

“Dana dalaman berjumlah RM39.13 juta yang digunakan tidak dapat ditentukan sudah mendapat kelulusan Lembaga Amanah atau Kementerian Kewangan (MOF)/Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP),” katanya.

Loading...
Terkini