comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar AP Terbuka mulai 1 Julai beri manfaat syarikat bumiputera

KUALA LUMPUR: Mana-mana syarikat bumiputera, termasuk syarikat yang tidak pernah terbabit dalam aktiviti automotif boleh memohon untuk dilantik sebagai syarikat AP Terbuka bagi menceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia, berkuat kuasa 1 Julai 2024.

Langkah itu selaras dengan usaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk terus meningkatkan keterangkuman dan ketelusan dalam proses permohonan AP Terbuka.

Syarikat bumiputera yang berminat adalah tertakluk kepada syarat utama iaitu berstatus Sendirian Berhad; pemilikan 100 peratus bumiputera; mempunyai modal berbayar minimum RM1 juta dan sedang beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun.

“Pelaksanaan dasar ini dijangka akan menarik lebih banyak syarikat bumiputera untuk berkecimpung dalam industri automotif.

“Pertambahan bilangan syarikat akan menjadikan segmen ini lebih kompetitif dan berdaya saing,” kata MITI dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, objektif utama kerajaan adalah untuk terus memperkasa agenda sosio-ekonomi bumiputera dengan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing untuk terbabit dalam sektor automotif.

Justeru, MITI mempelawa syarikat-syarikat bumiputera yang berminat dan layak untuk membuat permohonan.

Garis panduan, borang permohonan dan senarai semak boleh dirujuk di https://www.miti.gov.my/index.php/pages/view/3796.

Dasar AP Terbuka yang dilaksanakan sejak 1970 berjaya melahirkan syarikat bumiputera yang berdaya maju, bukan saja di dalam segmen mengimport dan menjual kenderaan, tetapi juga dalam aktiviti-aktiviti utama di sepanjang rantaian bekalan seperti perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Dasar itu adalah antara dasar berkaitan bumiputera yang masih dikekalkan sehingga kini dan penting bagi mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara seperti yang digariskan di bawah Dasar Ekonomi Baharu (DEB)

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini