comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar dan rangka kerja kawal selia kukuh diperlukan bagi realisasi NETR – KPMG

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Dasar dan rangka kerja kawal selia yang kukuh diperlukan untuk merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, menurut KPMG.

Ketua Infrastruktur, Strategi dan Operasi KPMG Malaysia, Abhishek Kumar berkata untuk memberikan kemajuan sebenar mengikut pelan hala tuju NETR memerlukan pembaharuan infrastruktur dan perundangan pada skala nasional.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab berat untuk memperkenalkan dasar dan rangka kerja kawal selia yang kukuh bagi mewujudkan persaingan yang setara yang memacu iklim pelaburan menggalakkan untuk membiayai dan melaksanakan inisiatifnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abhishek berkata NETR merupakan isyarat paling jelas mengenai komitmen kerajaan Malaysia untuk mencapai aspirasi negara bagi pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Beliau berkata jumlah agensi kerajaan dan badan kawal selia yang lebih luas terlibat dalam penyediaan pelan hala tuju tersebut adalah satu langkah ke hadapan dalam kerjasama progresif.

Fasa 1 NETR berdasarkan dokumen Dasar Tenaga Negara 2022 – 2040 dan terdiri daripada 10 projek pemangkin utama yang dipilih berdasarkan inisiatif berterusan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan di Malaysia, termasuk agensi kerajaan dan organisasi swasta.

Bagi mencapai kapasiti 70 peratus tenaga boleh baharu (RE) yang disasarkan menjelang 2050, NETR dijangka membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion dan RM1.85 trilion menjelang 2050.

Abhishek berkata ini memberikan kejelasan kepada pelabur dan pihak berkepentingan mengenai usaha yang diperlukan untuk mencapai penjanaan tenaga hijau dan penyepaduan grid sumber tenaga boleh baharu.

Beliau berkata sebagai permulaan, 10 projek pemangkin utama yang digariskan dalam Fasa 1 NETR dijangka menarik pelaburan besar untuk mempercepatkan peralihan tenaga Malaysia.

“Sebagai contoh, projek zon RE yang disokong oleh Khazanah Nasional Bhd berpotensi menarik berbilion pelaburan awam-swasta dan menggariskan komitmen Malaysia untuk mempercepatkan peralihan tenaga.

“Bagaimanapun, untuk merealisasikan sepenuhnya matlamat yang digariskan dalam NETR memerlukan pendekatan bersepadu daripada masyarakat tempatan dan antarabangsa untuk melaksanakan inovasi dan inisiatif seterusnya,” katanya.

Justeru, beliau menekankan kepada keperluan untuk memacu dasar, projek dan infrastruktur baharu yang akan menjadi pemboleh ubah penting untuk korporat memulakan penyahkarbonan.

Loading...
Terkini