comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar Gaji Progresif langkah kritikal naikkan bayaran pekerja

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif adalah kritikal untuk memberikan insentif, secara sukarela supaya syarikat-syarikat mula menaikkan gaji pekerja.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Ekonomi, Datuk Dr Zunika Mohamed, berkata perancangan dasar utama seperti Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan pembaharuan ekonomi jangka masa panjang memerlukan lonjakan pasaran buruh.

Beliau berkata, gaji yang tidak stabil telah mewujudkan kesan pemampatan gaji (jurang gaji antara pekerja lama dan baharu semakin mengecil), terutamanya bagi mereka yang baru memasuki alam pekerjaan.

“Gaji menjadi tonggak utama kerana asas ekonomi negara terletak pada kualiti bakat kita. Bakat adalah salah satu titik struktur yang sukar dalam ekonomi kita, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Lantaran itulah ‘Academy in Industry and Reverse Linkages’ penting untuk meningkatkan tenaga kerja dan memastikan terdapat kesesuaian yang mencukupi untuk memenuhi permintaan PKS,” katanya menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Nasional Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM). 2024 di sini, hari ini.

Zunika berkata, kementerian juga bertindak menyatukan sumber sektor awam melalui dasar seperti Pangkalan Data Utama (PADU) dan rasionalisasi subsidi.

Beliau berkata, kementerian telah memulakan proses pengumpulan data yang akan memudahkan pembuat dasar, sekali gus akan membantu untuk meminimumkan ralat kemasukan dan pengecualian dalam usaha penyasaran semula subsidi.

Pada masa yang sama, katanya rakyat juga perlu memahami bidang pertumbuhan baharu yang ada bagi melakar laluan ekonomi masa hadapan.

“Inilah sebabnya perancangan rapi dalam KL20 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dapat merapatkan jurang.

“KL20 menyediakan syarikat pemula kepada akses modal baharu, mendapat bimbingan daripada firma modal teroka antarabangsa dan tenaga kerja muda yang celik digital.

“Ini telah menghasilkan banyak kesan merentasi bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh rantau, dan akan mempercepatkan usaha negara menjadi lebih berkemahiran dengan pertumbuhan ekonomi tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini