comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar percukaian semasa mencukupi, kerajaan perlu berbelanja tanpa ketirisan – Pakar cukai

Oleh: Afrina Romzi

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memastikan hasil kutipan cukai dibelanjakan dengan baik untuk keperluan rakyat, tanpa sebarang ketirisan. Ini berpandukan polisi kerajaan sedia ada yang masih mempunyai ruang untuk diperbaiki dan ditambah baik untuk mengawal ketirisan.

Ketua Cukai, KPMG Malaysia, Soh Lian Seng, berkata dasar percukaian negara semasa juga sudah mencukupi dan kerajaan disaran tidak memperkenalkan cukai baharu dalam Bajet 2024 akan datang.

“Diharapkan Bajet 2024 tidak akan memasukkan cukai baharu selain apa yang dibentangkan bajet lalu. Ini kerana setiap kali diperkenalkan cukai baharu di Malaysia, rakyat biasanya akan menganggap bebanan kepada mereka sebelum butiran lengkap diumumkan,” katanya kepada BuletinTV3.

Kutipan cukai juga bergantung kepada tahap pematuhan individu dan syarikat, yang hanya membayar cukai yang perlu dan bukan berlebihan.

“Sekiranya pembayar cukai menjadikan amanat ini sebagai tanggungjawab kepada negara, sumbangan cukai yang perlu kepada perbelanjaan pembangunan dan pengurusan negara tidak akan dianggap sebagai bebanan,” katanya.

Tambah beliau, sistem cukai progresif seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum sesuai untuk diperkenalkan semula ketika ini.

“Memang ada pihak yang mungkin ingin menerangkan cukai progresif yang boleh diperkenalkan akan datang. Tetapi pandangan saya setakat ini dasar percukaian yang sedia ada memang mencukupi dan mantap. Hanya bagaimana kerajaan dengan bijak berbelanja tanpa ketirisan,” katanya.

Bagaimanapun, kerajaan disaran mengkaji secara terperinci keberkesanan sistem cukai progresif, yang berpandukan penggunaan awam bagi membentuk satu model yang dapat meningkatan hasil negara, tanpa membebankan rakyat.

Dilaporkan semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar percukaian Malaysia perlu berdasarkan dua prinsip asas, iaitu mengenakan cukai apabila ia benar-benar perlu dan ia tidak dianggap sebagai beban kepada pembayar cukai.

Loading...
Terkini