Tumpuan :
Detik Niaga

Dasar Trump naikkan tarif tidak jejas eksport sawit Malaysia

Foto hiasan

Oleh: Suzila Idayu Yaacob

BANGI: Dasar Donald Trump yang dijangka menaikkan tarif perdagangan susulan kemenangannya pada Pilihanraya Amerika Syarikat tidak akan menjejaskan eksport sawit Malaysia, sebaliknya hanya akan memberi kesan negatif kepada negara mereka sendiri.

Menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir, ini kerana minyak sawit daripada Malaysia sering mendapat permintaan tinggi, dan diperakui penting untuk kegunaan industri negara berkenaan.

“Amerika Syarikat banyak menghasilkan minyak kacang soya. Tetapi minyak sawit yang masuk ke Amerika Syarikat ini lebih kepada untuk kegunaan industri di mana ia tidak boleh diganti dengan kacang soya.

“Sekiranya berlaku kenaikan tarif, minyak sawit tempatan tetap akan masuk ke sana (Amerika Syarikat), jadi peningkatan kos akan berlaku dan akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat mereka sendiri,” katanya.

Jelas beliau, Amerika Syarikat tidak boleh menolak produk tertentu yang memerlukan minyak tepu seperti sawit dan kenaikan tarif akan menyebabkan harga produk-produk makanan yang dihasilkan menggunakan minyak sawit turut meningkat.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Pengkomersialan Minyak Transformer Berasaskan Sawit bersama Glide Technology di Bangi, Selangor.

Glide Technology, sebuah syarikat pengeluar minyak transformer milik penuh bumiputera, melabur sebanyak RM90 juta bagi membina kemudahan pengeluaran yang dijadualkan bermula suku ketiga tahun depan, membabitkan unjuran jualan RM30 juta dalam tempoh tiga tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini