comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Data semua kementerian, agensi digabung dapat jimatkan kos

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib

KUALA LUMPUR: Usaha perlu diambil untuk menggabung jalin data semua kementerian dan jabatan serta agensi kerajaan bagi menjana statistik yang bermanfaat dan pada masa sama dapat mengurangkan kos.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata pada masa ini, semua kementerian dan jabatan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan menyimpan pelbagai data.Katanya, masalah utama ialah data-data itu berlainan sistem terutamanya dari segi metodologi, standard, konsep dan definisi.

“Justeru, usaha perlu diambil untuk menggabung jalin data-data ini bagi menjana statistik yang dapat dimanfaatkan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada pengumpulan data secara banci atau survei yang memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Statistik Malaysia (MyStats) ke-10 2023 dengan tema ‘Merentasi Sempadan KDNK: Ke Arah Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar’ anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Institut Statistik Malaysia di sini, hari ini.

Lebih 1,000 peserta terdiri daripada ahli statistik, ahli akademik dan penyelidik dari pelbagai agensi menghadiri persidangan itu, yang dianjurkan bersama antara DOSM, BNM dan Institut Statistik Malaysia.Persidangan bertemakan ‘Merentasi Sempadan KDNK: Ke Arah Kesejahteraan Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar’, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang turut selari dengan konsep Malaysia MADANI merangkumi kesejahteraan ekonomi dan sosial, kelestarian alam sekitar dan kemampanan mutu hidup yang seimbang.

Katanya, kerajaan kini memerlukan data granular untuk membuat keputusan yang tepat bagi memastikan tiada pembaziran terutamanya dalam keadaan sumber kewangan yang semakin terhad.

Beliau berkata, data granular mengandungi maklumat yang khusus dan terperinci mengenai sesuatu subjek.”Ini membolehkan kerajaan melaksanakan program secara bersasar dan maklum balas kepada krisis dengan berkesan, seterusnya meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Dalam mengumpul dan menganalisa data yang banyak, DOSM berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan data yang disediakan adalah terperinci dan memenuhi kehendak pemegang taruh.

Justeru, jelasnya, DOSM perlu mengadoptasi strategi keselamatan data yang komprehensif.

Kepesatan revolusi digital yang berasaskan internet dan teknologi satelit pula menuntut sumber teknologi baharu dengan penggunaan pelbagai peralatan, perisian dan kemahiran statistik terkini bagi menghasilkan pelbagai proses kerja yang lebih bersepadu.

Loading...
Terkini