comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dividen lebih tinggi PETRONAS, RM40 bilion bagi kerajaan dilihat munasabah – Penganalisis

Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Bayaran dividen PETRONAS yang lebih tinggi sebanyak RM40 bilion kepada kerajaan bagi 2023 adalah munasabah, demikian menurut penganalisis.

Penganalisis RHB Investment Bank, Sean Lim, berkata bayaran dividen itu dijangkakan tidak akan menjejaskan kunci kira-kira syarikat minyak dan gas nasional itu memandangkan kedudukan tunai bersihnya mengukuh menjadi RM118 bilion.

Justeru, beliau berkata, pihaknya mengekalkan wajaran tinggi bagi sektor minyak dan gas, di samping masih menjangkakan bahawa PETRONAS akan menaikkan perbelanjaan modal pada separuh kedua 2023.

Malah, beliau menjelaskan bahawa syarikat minyak dan gas negara itu menekankan bahawa pengagihan dividen itu telah mempertimbangkan kapasitinya, berdasarkan unjuran jangka panjang.

“Selepas meneliti kad laporan separuh pertama 2023 PETRONAS, kami percaya bayaran dividen yang lebih tinggi sebanyak RM40 bilion untuk 2023 adalah munasabah,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Lembaga Pengarah PETRONAS telah meluluskan dividen tambahan sebanyak RM5 bilion untuk dibayar kepada kerajaan bagi 2023, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi tahun ini sebanyak RM40 bilion.

Sementara itu, Lim berkata, pihaknya menjangka perbelanjaan modal PETRONAS akan ditingkatkan dalam beberapa suku akan datang, terutamanya pada separuh kedua 2023.

Beliau berkata, perbelanjaan modal domestik membentuk 49 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal dan meningkat 48 peratus dari tahun ke tahun pada separuh pertama 2023 menjadi RM10.5 bilon.

Katanya, perkara itu juga secara amnya menepati bayangan perbelanjaan modal domestik oleh PETRONAS iaitu kira-kira RM113 bilion atau purata RM22.6 bilion setiap tahun antara 2023 dan 2027.

“Kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) yang sedang beroperasi dan yang sedang dibangunkan bertambah 0.2 gigawatt (GW) dari suku tahunan ke suku tahunan kepada dua GW, lantas meletakkan PETRONAS dalam landasan untuk menepati sasaran tiga GW sebelum 2024,” katanya.

Loading...
Terkini