comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Dolar AS bukan ukuran tunggal prestasi ringgit, ekonomi Malaysia – MIDF Research

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Pergerakan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bukanlah satu-satunya ukuran dalam menilai prestasi mata wang negara secara keseluruhannya, kata MIDF Research.

Malah, bahagian penyelidikan itu berkata, perbandingan hanya dengan dolar AS saja juga tidak akan memberi gambaran lengkap prestasi ringgit dan prospek menyeluruh keadaan makroekonomi Malaysia.

Pandangan MIDF Research itu berdasarkan pengukuran Indeks Ringgit Berwajaran Dagangan MIDF (MIDF TWRI) yang dibangunkannya untuk mengukur tukaran asing ringgit melangkaui dolar AS.

Indeks itu dibangunkan berdasarkan prestasi tukaran asing ringgit berwajaran dagangan berbanding 16 mata wang rakan dagangan terbesar Malaysia.

Berdasarkan MIDF TWRI itu, pada 2022, ringgit hanya mengalami susut nilai yang kecil sebanyak 0.1 peratus, kurang ketara berbanding penyusutan 5.5 peratus jika diukur dengan ringgit berbanding dolar AS.

“Melihat kepada sumbangan komponen utama kepada perubahan dalam MIDF TWRI pada 2022; dolar Singapura dan dolar AS menyumbang masing-masing kepada -0.8 peratusan mata dan -0.6 peratusan mata.

“Sumbangan negatif, bagaimanapun, diimbangi oleh pengukuhan ringgit berbanding yuan (+0.4 peratus) dan yen (+0.6 peratus), manakala ringgit hampir tidak berubah berbanding euro,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengulas lanjut, MIDF Research berkata, perbezaan drastik sedemikian antara komponen dalam MIDF TWRI adalah disebabkan oleh tahap yang berbeza-beza kesan pandemik terhadap setiap ekonomi dan pasaran mata wang asing.

Contohnya, ia berkata, China adalah ekonomi utama terakhir membuka semula ekonominya pada Januari 2023 berikutan Dasar Sifar COVID yang ketat dengan sekatan dan kawalan pergerakan dilanjutkan sehingga suku keempat 2022.

“Oleh itu, MIDF TWRI menunjukkan bahawa dolar AS sebagai ukuran tunggal prestasi ringgit tidak akan menjadi wakil lengkap prestasi ringgit dan tinjauan makroekonomi keseluruhan Malaysia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini