comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Duopharma muncul syarikat pertama terima pensijilan halal produk onkologi

Pensijilan halal produk onkologi diserahkan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Tuan Bukhari Md Akhir kepada Ketua Pegawai Eksekutif (Komersial) Duopharma, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid.

KUALA LUMPUR: Duopharma Biotech Bhd tampil sebagai syarikat farmaseutikal pertama di Malaysia menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi produk onkologi.

Dalam kenyataan hari ini, katanya ketika ini produk itu diluluskan sebagai rawatan adjuvan kepada wanita selepas menopaus yang mengalami kanser payu dara peringkat awal selain sebagai rawatan permulaan kepada wanita selepas menopaus dengan kanser payu dara peringkat akhir.

Produk itu dihasilkan di fasiliti Ramuan Farmaseutikal Beraktif Tinggi (HAPI) syarikat di Glenmarie, Shah Alam.

“Produk onkologi halal ini dibekalkan ke hospital penjagaan kesihatan kerajaan dan swasta di Malaysia dan telah diluluskan untuk dieksport ke Brunei dan Singapura baru-baru ini,” menurut syarikat itu.

Pengarah Urusan kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata kejayaan menerima pensijilan halal bagi produk ini adalah sejajar dengan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat yang menjadikan akses kepada ubat sebagai antara bidang tumpuan utama.

“Kami menjalankan usaha yang berterusan untuk menyediakan akses kepada ubat-ubatan dan terapi yang sangat diperlukan oleh pengguna dan pesakit (yang) dijamin selamat digunakan dan berkesan, berkualiti tinggi, bersih dan halal.

“Fasiliti HAPI kami yang moden ini memainkan peranan penting untuk memerangi banyak penyakit, membolehkan syarikat untuk memanfaatkan inovasi dan teknologi bagi memenuhi keperluan pesakit dan meluaskan akses terhadap terapi khusus,” katanya. – BERNAMA

Loading...
Terkini