Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi digital Malaysia dijangka rekod lebih RM138 bilion NBK tahun ini

Farhan Qureshi pada taklimat laporan e-Konomi SEA 2024 anjuran Google Malaysia hari ini.

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Ekonomi digital Malaysia dijangka mencapai AS$31 bilion (RM138.4 bilion) dalam nilai barangan kasar (NBK) tahun ini, meningkat 16 peratus berbanding 2023.

Menurut laporan e-Konomi Asia Tenggara (SEA) 2024 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, ekonomi digital negara telah berkembang ke arah keuntungan, pada masa sama mengekalkan pertumbuhan dua angka untuk NBK.

Pengarah Google Malaysia, Farhan Qureshi berkata, pemimpin negara mengutamakan kecerdasan buatan (Al) dan semikonduktor, selari dengan tumpuan yang menggalakkan di rantau ini.

“Saya fikir 50 peratus pelaburan di SEA untuk AI dilaksana di Malaysia. Ia juga salah satu negara teratas dalam bidang AI,” katanya apabila ditemui media pada taklimat laporan e-Konomi SEA 2024 anjuran Google Malaysia hari ini.

Laporan itu mendedahkan, aliran pertumbuhan positif merentas sektor digital dipacu e-dagang yang berkembang 17 peratus kepada AS$16 bilion dalam NBK tahun ini antaranya susulan peningkatan perdagangan video.

Perjalanan dalam talian menunjukkan perkembangan NBK yang paling pesat berbanding sektor lain pada 19 peratus untuk mencapai AS$8 bilion NBK berikutan perjalanan antarabangsa Malaysia mengalami pemulihan teguh dan dijangka melebihi paras pra-pandemik tahun ini.

Selain itu, penghantaran dan pengangkutan makanan diunjur meningkat 10 peratus kepada AS$4 bilion pada 2024, disokong pemulihan permintaan komuter dan perjalanan antarabangsa.

Manakala media dalam talian di Malaysia telah menunjukkan perkembangan konsisten dengan NBK dijangka meningkat 10 peratus kepada AS$4 bilion, dipacu oleh peningkatan populariti kandungan digital, permainan dan perkhidmatan penstriman.

Perkhidmatan kewangan digital juga meneruskan trajektori meningkat berikutan pelbagai bank digital Malaysia menawarkan ciri yang menarik dan kemudahan akses.

Pembayaran digital dijangka mencapai AS$172 bilion pada 2024, peningkatan sebanyak lima peratus, manakala kekayaan digital dijangka berkembang dengan ketara dan mencapai aset di bawah pengurusan (AUM) sekitar AS$80 bilion menjelang 2030.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini