comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia dijangka cecah AS$1 trilion pada 2035 – S&P Global

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan jangka sederhana dan panjang Malaysia dijangka kekal menggalakkan, dengan Malaysia diunjurkan menjadi ekonomi satu trilion dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang 2035, demikian kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik S&P Global Market Intelligence, Rajiv Biswas, berkata jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) nominal yang diukur dalam terma dolar AS diunjurkan meningkat daripada sekitar AS$400 bilion pada 2022 kepada AS$710 bilion menjelang 2030 dan AS$1 trilion menjelang 2035.

Beliau berkata, KDNK perkapita pula diunjurkan meningkat daripada AS$12,000 pada 2022 kepada AS$19,300 menjelang 2030 dan AS$26,400 menjelang 2035.

Katanya, peningkatan itu akan membantu memacu pertumbuhan pasaran pengguna domestik dan juga melonjakkan Malaysia ke dalam barisan ekonomi berpendapatan tinggi dunia seperti yang diukur oleh KDNK setiap orang.

“Ekonomi Malaysia melantun kukuh pada 2022, dengan momentum pertumbuhan ekonomi dirangsang oleh pelonggaran langkah sekatan COVID-19 serta eksport produk elektrik dan elektronik, produk minyak sawit serta eksport minyak dan gas yang memberangsangkan.

“Pada 2023, momentum pertumbuhan telah menjadi sederhana apabila diukur pada asas tahun ke tahun, disebabkan oleh kesan tahun asas dan penurunan ketara eksport barangan.

“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan suku ke suku telah meningkat dengan ketara pada suku kedua dan ketiga 2023,” katanya dalam komentar ekonominya.

Walaupun terdapat kelembapan dalam tempahan elektronik global pada 2023, Biswas berkata, prospek ekonomi jangka sederhana bagi industri elektronik Malaysia adalah menggalakkan.

Beliau berkata, tinjauan untuk permintaan elektronik disokong oleh perkembangan teknologi utama, termasuk pelancaran 5G dalam tempoh lima tahun akan datang, yang akan memacu permintaan untuk telefon mudah alih 5G.

Loading...
Terkini