comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih perlahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal terpuji pada 2023 di sebalik unjuran pertumbuhan lebih perlahan 4.3 peratus berbanding unjuran pertumbuhan 8.2 peratus bagi 2022.

Dalam webinar RAM Insight Series bertajuk ‘Economic Outlook 2023-Choppy Waters Ahead?’ hari ini, Ahli Ekonomi Kanan dan Ketua Penyelidikan Ekonomi RAM Ratings, Woon Khai Jhek, berkata pertumbuhan lebih perlahan adalah disebabkan oleh kesan balas pertumbuhan lebih lemah, terutama kelembapan dalam permintaan elektronik pengguna yang akan memberikan impak kepada sektor semikonduktor.

“Namun, saya merasakan di sebalik itu, ekonomi domestik yang meluas dan pelbagai sebenarnya menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan berterusan.”

Justeru, perbelanjaan swasta akan terus menjadi tonggak utama dari segi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan akan ada pemulihan selanjutnya sebalik saja pasaran buruh turut mulai meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kadar pengangguran dijangka terus mencatatkan penurunan kepada kadar purata 3.5 peratus pada 2023 berbanding 3.8 peratus yang diunjurkan tahun ini.

“Akan terdapat peningkatan daripada pemulihan selanjutnya sebahagian sektor yang ketinggalan seperti dinyatakan terdahulu, seperti sektor pertanian dan pembinaan, apabila beberapa isu dihadapi oleh sektor berkenaan seperti kekurangan buruh akan diselesaikan secara berperingkat.

“Begitu juga (kemungkinan) sektor ketinggalan seperti sektor berkaitan pelancongan, yang mana sebaik saja ketibaan pelancong pulih, akan berlaku peningkatan dari segi pemulihan dan sumbangan daripada semua sektor berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata risiko prospek pertumbuhan keseluruhan kekal terarah kepada penurunan disebabkan oleh ketegangan geopolitik.

Katanya, ketegangan geopolitik yang meningkat atau mana-mana senario stagflasi atau kemeseletan akan menjejaskan unjuran pertumbuhan.

“Di peringkat domestik, sebahagian daripada risiko utama yang kami perhatikan adalah kenaikan mendadak harga makanan yang boleh menjejaskan sentimen pengguna serta momentum perbelanjaan swasta selain kekurangan buruh berpanjangan,” tambahnya.-BERNAMA

Loading...
Terkini