comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi Malaysia lebih baik berbanding sebahagian negara lain

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 3.7 peratus yang dicatatkan pada 2023 meskipun tidak mencapai sasaran masih dianggap baik disokong permintaan domestik yang kukuh meskipun berdepan persekitaran luaran yang mencabar, kata penganalisis.

Pertumbuhan yang menyederhana itu berikutan penguncupan permintaan luaran yang berterusan dan lebih mendadak, manakala pertumbuhan yang mampan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Permintaan domestik berkembang lebih cepat 6.2 peratus pada suku keempat 2023 berbanding 5.1 peratus pada suku ketiga 2023, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan pelaburan yang lebih kukuh.

Penggunaan swasta kekal mengembang, walaupun sederhana sedikit kepada 4.2 peratus pada suku itu, disokong oleh keadaan pasaran pekerjaan yang kukuh dan inflasi yang menyederhana.

Di peringkat serantau, ekonomi Singapura mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah daripada jangkaan iaitu 1.1 peratus bagi 2023 berbanding jangkaan awal 1.2 peratus.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, prestasi menyederhana yang dicatatkan ekonomi Malaysia pada tahun lalu adalah seperti dijangkakan terutama sektor pembuatan yang telah mencatatkan penurunan.

Beliau berkata, beberapa negara maju juga berdepan kemelesetan teknikal ekonomi seperti di United Kingdom (UK) dan Jepun.

Katanya, ekonomi global dijangka malap pada 2024 berikutan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan kadar faedahnya 5.25 hingga 5.5 peratus untuk waktu yang lebih lama dari jangkaan, menyebabkan bank pusat seluruh dunia mengekalkan kadar faedah yang tinggi.

“Justeru, keadaan itu menyebabkan perdagangan dunia juga perlahan berikutan kos pembiayaan yang masih tinggi,” katanya.

Beliau menambah, krisis geopolitik yang berterusan di Asia Barat dan Eropah Timur masih berterusan dan berpotensi merebak ke kawasan yang lebih luas, memberikan ancaman kepada ekonomi dunia terutama peningkatan kadar inflasi yang berpotensi meningkat semula.

“Masih baik (pertumbuhan 3.7 peratus yang dicatatkan bagi 2023). Beberapa negara telah mengumumkan kemelesetan ekonomi tetapi Malaysia masih berkembang pesat didorong ekonomi domestik yang mantap,” katanya.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata data menunjukkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah lebih rendah daripada jangkaan kepada 3.0 peratus pada suku keempat 2023, lebih perlahan berbanding unjuran awal 3.4 peratus dan 3.3 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, semakan utama yang dilihat dalam bacaan akhir ialah sektor perkhidmatan dan pembuatan berbanding anggaran awal.

Katanya, sektor perkhidmatan telah merosot daripada unjuran awal 4.7 peratus kepada 4.2 peratus, manakala sektor pembuatan disemak jauh lebih rendah daripada pertumbuhan 0.1 peratus kepada penguncupan 0.3 peratus.

Sebaliknya, sektor perlombongan, pembinaan dan pertanian disemak masing-masing daripada 3.7 peratus, 2.5 peratus dan 1.2 peratus kepada 3.8 peratus, 3.6 peratus dan 1.9 peratus, katanya.

“Terdapat penurunan besar dalam eksport bersih sebanyak 35.6 peratus pada suku akhir 2023 berbanding penurunan 22.7 peratus pada suku sebelumnya.

Ini menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia adalah ekonomi terbuka dan oleh itu, sebarang pergeseran dalam permintaan luar memberi kesan kepada eksport dan sektor pembuatan kita.

“Oleh itu, permintaan dalam negeri akan menjadi faktor asas utama yang akan memastikan pertumbuhan keseluruhan Malaysia akan kekal stabil.

Justeru, dasar fiskal dan monetari adalah faktor utama untuk memastikan pertumbuhan akan berdaya tahan pada 2024,” katanya.

Bagi 2024, Mohd Afzanizam berkata, pihaknya menjangkakan KDNK sekitar 4.3 peratus dengan permintaan domestik menjadi pemacu utama pertumbuhan keseluruhan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini