comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekonomi perlahan, inflasi jejas sentimen perniagaan 

PUTRAJAYA: Sentimen perniagaan untuk jangka masa pendek bertukar pesimistik apabila petunjuk keyakinan merosot kepada -3.1 peratus pada suku kedua 2023 daripada 3.6 peratus pada suku tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jangkaan ini adalah selari dengan kelembapan ekonomi global yang berterusan termasuk tekanan inflasi,.

Tiga sektor iaitu sektor pembinaan, perdagangan borong & runcit dan industri menjangkakan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku kedua 2023.

Keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan kekal di trajektori negatif dengan petunjuk keyakinan mencatatkan -26.9 peratus pada suku tahun rujukan.

Manakala, sektor perdagangan borong & runcit serta industri berubah pesimistik pada suku tahun yang sama.

“Responden dalam sektor perdagangan borong & runcit menjangkakan prospek perniagaan yang kurang menggalakkan dengan petunjuk keyakinan sebanyak -10.2 peratus pada suku tahun kedua 2023 berbanding 4.0 peratus pada suku yang lalu, di mana kedua-dua subsektor mencatatkan persepsi yang tidak menggalakkan,” katanya.

DOSM berkata, sektor industri juga meramalkan keadaan perniagaan yang kurang menggalakkan pada suku tahun kedua 2023 apabila petunjuk keyakinan merekodkan -2.1 peratus daripada 1.1 peratus sebelumnya.

Walau bagaimanapun, sektor perkhidmatan terus optimistik terhadap prestasi perniagaan dengan petunjuk keyakinan 3.9 peratus pada suku tahun yang sama berbanding 11.4 peratus pada suku tahun pertama 2023.

Dalam tempoh enam bulan akan datang iaitu April hingga September 2023, tinjauan perniagaan kekal positif dengan imbangan bersih 14.9 peratus daripada 12.1 peratus yang dicatatkan sebelumnya.

Loading...
Terkini