comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport barangan Malaysia diunjur pulih susulan prospek global lebih positif

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Eksport barangan Malaysia dijangka pulih dan berkembang pada +5.2 peratus tahun ini berbanding penguncupan -8.0 peratus pada 2023, susulan peningkatan semula aktiviti perdagangan dan pengeluaran global, kata MIDF Research.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu berkata sentimen optimis dalam kalangan pengeluar juga terbukti meningkat sedikit dari Disember 2023 dan kalangan pengeluar tempatan menjangkakan permintaan akan terus pulih.

Pandangan MIDF Research itu menyusuli laporan S&P Global pada Khamis yang menyifatkan keyakinan menyeluruh kalangan pengeluar di Malaysia telah meningkat sedikit pada Januari 2024 berbanding Disember tahun lepas dalam keadaan petunjuk permintaan yang lebih baik.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim mencatat 49.0 pada Januari, meningkat berbanding 47.9 pada Disember — tertinggi sejak September 2022.

Sehubungan itu, angka terkini berkenaan menunjukkan bahawa momentum penyusutan pada tahun lepas semakin lenyap, sekali gus menjadikan sektor pembuatan Malaysia di landasan bagi mencatat pemulihan secara beransur-ansur.

Mengulas perkembangan itu, MIDF Research berkata aktiviti pengilangan di Malaysia merosot pada bulan lepas dan pada kadar paling perlahan dalam tempoh 19 bulan.

“PMI yang meningkat (namun masih di bawah angka 50), menunjukkan penurunan output manakala pesanan dan eksport juga lebih perlahan.

“Pengeluar tempatan juga menunjukkan pengurangan lebih perlahan dari segi tunggakan yang berkemungkinan memaparkan tekanan kian meningkat terhadap kapasiti firma di tengah-tengah penurunan pesanan baharu yang lebih perlahan,” katanya.

Dalam pada itu, tekanan harga yang berkurangan juga disebabkan oleh tekanan kos yang menjadi penyebab kenaikan harga jualan, juga lebih perlahan.

Malah, perkembangan itu selaras dengan trend terkini dalam harga pengeluar dan pengguna.

Sementara itu, PMI Pembuatan ISM Amerika Syarikat meningkat kepada 49.1 pada Januari 2024 daripada 47.1 pada Disember 2023 dengan pesanan baharu yang kembali meningkat.

Mengulas China, MIDF Research berkata walaupun PMI Pembuatan Caixin kekal di paras 50.8 pada Januari 2024, aktiviti pembuatan kekal mencatat pertumbuhan untuk bulan ketiga berturut-turut.

Pada masa sama, negara serantau seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Taiwan dan Korea Selatan juga melaporkan bacaan PMI yang lebih tinggi pada bulan lepas.

— BERNAMA

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini