comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport kebanyakan negeri catat penurunan tahun lalu – DOSM

Pelabuhan Klang kekal sebagai pelabuhan utama di Malaysia khusus bagi tujuan import dan eksport negara. – Foto hiasan

PUTRAJAYA: Prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport pada 2023 bernilai RM1.4 trilion, susut sebanyak lapan peratus berbanding RM1.6 trilion pada tahun sebelumnya, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata penurunan eksport Malaysia dipengaruhi oleh eksport yang lebihrendah direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Johor (-RM31.9 bilion), Selangor(-RM21.2 bilion), Sarawak (-RM20.3 bilion), Pulau Pinang (-RM20.2 bilion), Sabah (-RM17.8 bilion), Labuan (-RM7.5 bilion), Perak (-RM5.1 bilion), Pahang (-RM3.0 bilion), Melaka (-RM2.4 bilion), Terengganu (-RM1.7 bilion) dan Perlis (-RM134.1 juta).

Walau bagaimanapun, katanya eksport meningkat di Kedah (RM6.2 bilion), Kuala Lumpur (RM418.7 juta), Negeri Sembilan (RM369.4 juta) dan Kelantan (RM354.6 juta).

“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia dengan sumbangan 31.4 peratus, diikuti oleh Johor (20.3 peratus), Selangor (17.7 peratus), Sarawak (7.8 peratus) dan Kuala Lumpur (4.6 peratus).

“Pengukuhan eksport disokong oleh produk litar elektronik bersepadu terutamanya di Pulau Pinang dan Selangor. Selain itu, keluaran petroleum bertapis merupakan penyumbang utama eksport di Johor manakala gas asli cecair (LNG) merupakan penyumbang utama eksport di negeri Sarawak,” katanya.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir Mahidin memaklumkan import pada 2023 mencatatkan penurunan sebanyak 6.4 peratus atau RM82.3 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata, penurunan import dipengaruhi oleh import yang lebih rendah bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM43.8 bilion), Johor (-RM13.9 bilion), Selangor (-RM9.9 bilion), Kedah (-RM7.8 bilion), Negeri Sembilan (-RM4.5 bilion), Sarawak (-RM3.3 bilion), Perak (-RM2.7 bilion), Labuan (-RM1.3 bilion), Melaka (-RM923.3 juta) dan Perlis (-RM132.8 juta).

Walau bagaimanapun, katanya import meningkat di Kuala Lumpur (RM5.1 bilion), Pahang (RM1.9 bilion), Terengganu (RM1 bilion), Kelantan (RM246.3 juta) dan Sabah (RM209.3 juta).

“Selangor mendominasi import negara dengan sumbangan 26.6 peratus, diikuti oleh Johor (22.4 peratus), Pulau Pinang (20.7 peratus), Kuala Lumpur (7.6 peratus) dan Kedah (5.4 peratus).

“Import yang tinggi dicatatkan di Selangor dan Johor disumbangkan oleh keluaran petroleum bertapis. Di samping itu, litar elektronik bersepadu merupakan penyumbang utama import di Pulau Pinang dan Kedah.

“Manakala, kelengkapan telekomunikasi, alat ganti dan aksesori merupakan penyumbang utama import di Kuala Lumpur,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini