comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport kembali meningkat, naik 9.1 peratus pada April

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Eksport negara berkembang kukuh pada April 2024 dengan meningkat 9.1 peratus kepada RM114.72 bilion setelah mencatatkan penyusutan dua bulan berturut-turut.

Pertumbuhan kukuh itu disumbangkan kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan.

Dari segi pasaran, eksport ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merekodkan pertumbuhan dua angka, manakala eksport ke China pulih daripada pertumbuhan negatif yang direkodkan pada bulan sebelumnya, menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku dalam pasaran eksport utama Malaysia.

Eksport Malaysia mencatat penyusutan pada Februari dan Mac masing-masing sebanyak 0.8 peratus.

Dari segi import pula, ia meningkat 15.6 peratus kepada RM107.02 bilion pada April 2024, disumbangkan oleh import yang kukuh bagi barangan pengantara yang digunakan terutamanya dalam aktiviti pembuatan barangan untuk dieksport.

“Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh dan trend peningkatan pada April 2024 dengan merekodkan pertumbuhan dua angka 12.1 peratus kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023, pertumbuhan keempat bulan berturut-turut.

“Untuk bulan yang ke-48 berturut-turut sejak Mei 2020, Malaysia telah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM7.7 bilion,” katanya.

MITI berkata, empat bulan 2024 mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh itu bagi perdagangan, eksport, dan import, dengan perdagangan meningkat 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh sama 2023.

Eksport pula meningkat 3.8 peratus kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7 peratus kepada RM435.22 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion.

Sementara itu, berbanding Mac 2024, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 dicatat lebih rendah masing-masing sebanyak 9.3 peratus, 10.8 peratus, 7.6 peratus dan 39.4 peratus.

Pengurangan itu berikutan penurunan perdagangan dengan rakan dagang utama iaitu Taiwan, ASEAN, India, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dari segi barangan, perdagangan yang lebih rendah direkodkan bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran petroleum dan gas asli cecair (LNG).

Eksport Malaysia ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2024 meningkat 4.4 peratus kepada RM78.03 bilion, dengan antara rakan dagang FTA yang mencatatkan peningkatan eksport adalah Hong Kong, Mexico dan Kanada, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E.

Trend positif bagi perdagangan, eksport dan import Malaysia pada tempoh Januari hingga April 2024 sejajar dengan unjuran pemulihan perdagangan global.

Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), perdagangan barangan global dijangka akan meningkat 2.6 peratus tahun ini setelah mengalami penguncupan pada 2023.

Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menjangkakan pemulihan mendadak dalam aliran barangan pada 2024 setelah mengalami kelembapan pada 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini