comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport Malaysia dijangka meningkat semula pada 2024 – MIDF

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia dijangka meningkat semula dan berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2024 selepas diunjurkan penurunan 6.4 peratus tahun ini, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata peningkatan dalam import China pada Oktober memberi petunjuk bahawa permintaan domestik yang lebih menggalakkan di China, Malaysia juga akan merekodkan eksport lebih baik ke China pada bulan itu.

“Jika permintaan meningkat dari China berterusan, ia akan menyokong pemulihan dalam perdagangan luaran dalam beberapa bulan akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Kastam China sebelum ini mengumumkan bahawa import pada Oktober meningkat tiga peratus tahun ke tahun dalam dolar US walaupun eksport merosot 6.4 peratus, lebih daripada jangkaan.

MIDF Research berkata import China dari ASEAN meningkat sebanyak 10.2 peratus tahun ke tahun dengan import diperoleh dari Malaysia berkembang dengan kukuh sebanyak 8.0 peratus (September 2023: -1.4 peratus).

“Peningkatan pada Oktober 2023 merupakan pengembangan pertama sejak Februari 2023, menyumbang 27.1 peratus daripada nilai import China dari ASEAN,” katanya.

Secara keseluruhan, import China melonjak semula sebanyak 3.0 peratus tahun ke tahun (September 2023: -6.3 peratus tahun ke tahun), meningkat buat kali pertama selepas penguncupan tujuh bulan berturut-turut.

Pada asas bulan ke bulan, import ke China merosot 1.4 peratus (September 2023: naik 2.2 peratus bulan ke bulan) selepas dua bulan pengembangan eksport. — BERNAMA

Loading...
Terkini