comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Eksport Malaysia diunjur berkembang perlahan bagi separuh pertama 2023

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank (RHB IB) mengunjurkan eksport Malaysia meneruskan momentum peningkatan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang walaupun pada kadar yang perlahan, berikutan pertumbuhan global berada pada laluan yang kurang memberangsangkan.

Bank pelaburan itu menjelaskan kelemahan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta berasaskan komoditi dijangka menjadi lebih ketara pada separuh pertama 2023 ekoran permintaan global menjadi sederhana.

“Jualan semikonduktur telah mula perlahan memandangkan permintaan terhadap produk pengguna kian lembap, dipengaruhi oleh permintaan global yang suram, tekanan inflasi meningkat serta kesan daripada ketegangan geopolitik,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

RHB IB menambah dari segi destinasi, eksport juga dijangkakan lebih rendah ke ekonomi utama seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

“Walaupun wujud kelemahan daripada peringkat luaran, pertumbuhan ekonomi diunjurkan kekal kukuh dipacu sokongan berterusan daripada kegiatan ekonomi domestik seperti yang ditunjukkan oleh daya tahan modal dan import barangan pengguna,” katanya.

Terdahulu hari ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengumumkan eksport meningkat 15 peratus kepada RM131.63 bilion bagi Oktober 2022 sekali gus menjadi pertumbuhan dua digit yang ke-15 bulan berturut-turut.

Pertumbuhan eksport itu disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport keluaran petroleum, barangan elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG) serta petroleum mentah.

“Eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan,” jelas MITI.

— BERNAMA

Loading...
Terkini