comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ekuinas catat pertumbuhan hasil 7 peratus bagi tahun kewangan 2023

KUALA LUMPUR: Syarikat portfolio Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) mencatatkan pertumbuhan hasil 7.0 peratus tahun ke tahun untuk tahun kewangan 2023 dengan pelaburan langsung terkumpul mencecah RM4.1 bilion.

Syarikat ekuiti swasta berkaitan kerajaan itu berkata kadar pulangan dalaman kasar (GIRR) untuk Tranche II dan IV masing-masing 11.5 peratus dan 43.0 peratus, manakala Tranche III menyaksikan GIRR sebanyak -0.6 peratus.

“Exabytes dan Medispec jelas mencatatkan prestasi kukuh, masing-masing mencapai pertumbuhan
hasil 22.5 peratus dan 15.4 peratus.

“Walaupun pendapatan keseluruhan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (Ebitda) bagi syarikat portfolio menguncup sebanyak tujuh peratus, Orkim mencatatkan pertumbuhan Ebitda sebanyak 8.9 peratus, dan Kumpulan Pendidikan Ekuinas menyaksikan pertumbuhan EBITDA yang amat memberangsangkan pada 65.3 peratus,” katanya.

Dari segi Dana Penyumberan Luar, Ekuinas berkata Tranche I mencapai GIRR 4.1 peratus, manakala Tranche II mencatatkan GIRR -3.1 peratus pada tahun tersebut.

“Ekuinas kini menumpukan usaha untuk melupuskan pegangan-pegangan penyumberan luar, manakala prestasi pelaburan terus diteliti untuk pelupusan apabila penilaiannya lebih memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir  berkata 2023 adalah tahun yang mencabar kerana kesan geopolitik dan makroekonomi memberi tekanan terhadap ekonomi tempatan dan global.

“Dalam usaha mengharungi cabaran pasca pandemik pada tahun lepas, Ekuinas telah melaksanakan strategi serampang tiga mata — pertama sekali untuk melaburkan sebahagian besar daripada baki modal dalam Tranche IV dengan penumpuan kepada sektor penjagaan kesihatan dan perindustrian.

“Kedua untuk melaburkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada Dana Asas menjelang akhir 2023, dan ketiga untuk menggalakkan penciptaan nilai serta momentum pertumbuhan bagi syarikat-syarikat portfolio sambil menempuh persekitaran ekonomi yang mencabar,” katanya.

Syed Arafat menyatakan bahawa Ekuinas mengumumkan dua inisiatif baharu untuk 2024 — memberikan RM100 juta kepada Dana Asas II, khusus untuk menyokong lebih banyak syarikat bumiputera pasaran pertengahan yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.

“Kami juga akan memperkenalkan kredit persendirian dengan dana diperuntukkan sebanyak RM800 juta,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2009, portfolio Ekuinas hari ini terdiri daripada 43 syarikat melalui dana langsung dan penyumberan luarnya, dengan sejumlah RM5.1 bilion modal ekonomi digunakan dan jumlah pelaburan RM4.5 bilion.

“Syarikat terus memenuhi sasaran ekuiti bumiputera, dengan mencapai 1.6 kali modal dilaburkan berjumlah RM6.4 bilion, dengan peningkatan nilai pemegang saham keseluruhan kepada RM8.1 bilion, bersamaan 2.1 kali modal dilaburkan.

“Selain itu, bilangan pengurusan bumiputera di dalam syarikat-syarikat portfolio mencatat peningkatan
28.1 peratus sementara bilangan kakitangan bumiputera mencatat peningkatan 15.2 peratus sejak penglibatan Ekuinas,” kata syarikat itu.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini