comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Elemen ‘kepalsuan’ ekosistem kewangan tingkat risiko keberhutangan – KRI

KUALA LUMPUR: Elemen ‘kepalsuan’ yang tersembunyi dalam ekosistem kewangan sedia ada bagi pemilikan sesuatu barangan dan perkhidmatan memberi implikasi ke atas keberhutangan individu terutama kumpulan rentan, demikian mengikut laporan terkini Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Dalam laporan bertajuk ‘The Financialisation of our Lives: Values and Trade-offs’ itu berkata, akses yang murah dan mudah kepada pembiayaan mendorong permintaan tiruan atau palsu terhadap perumahan.

Ia berkata, sekiranya bekalan perumahan kekal tidak anjal, peningkatan permintaan itu boleh mendorong harga rumah yang jauh lebih tinggi lagi.

“Ini menyebabkan pembeli rumah memberi komitmen kepada perumahan yang lebih mahal, di samping menyebabkan bekalan perumahan masa hadapan berharga lebih tinggi,” katanya dalam laporan itu.

Laporan itu meneroka bagaimana ekosistem kewangan sedia ada mencipta insentif palsu kepada isi rumah untuk terjerumus dalam keberhutangan yang lebih serius.

Ia bermakna, meletakkan rasa ‘mampu milik’ yang palsu bagi pemilikan sesuatu barangan dan perkhidmatan, dengan secara tersembunyi, memberi implikasi ke atas keberhutangan individu dan keluarga mereka.

KRI berkata, isu keberhutangan adalah fenomena global dan Malaysia juga tidak terkecuali dengan memperlihatkan hutang isi rumah di negara ini kini mencapai 84.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ia berkata, perubahan kepada ekonomi berasaskan pembiayaan kewangan telah mempengaruhi pengagihan pendapatan dan ketidakseimbangan.

Katanya, pertumbuhan sektor kewangan telah memberi manfaat secara tidak seimbang kepada mereka yang memiliki aset dan kemahiran, serta melebarkan jurang pendapatan antara segmen populasi yang berbeza.

“Malah, kesannya adalah lebih serius kepada mereka yang mempunyai akses terhad kepada sumber kewangan atau pengetahuan untuk mengendalikan produk kewangan yang kompleks.

“Pola peningkatan bagi pinjaman sektor isi rumah mencerminkan keyakinan pengguna dan kesediaan untuk menggunakan sumber kewangan untuk memenuhi penggunaan keperluan asas dan aspirasi,” katanya.

KRI berkata, analisis juga menunjukkan hanya 30 peratus isi rumah teratas (T30) yang membelanjakan untuk barangan dan perkhidmatan aspirasi.

Ia berkata, golongan isi rumah yang kaya akan sentiasa mendapat bahagian kredit yang besar dalam era pembiayaan kewangan.

Katanya, perluasan kredit pembiayaan membolehkan mereka untuk melabur atau memenuhi keperluan kewangan jangka pendek dengan kos yang rendah, manakala dasar yang memperluaskan hutang kepada isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah membawa beban hutang yang tinggi dan serius.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini