comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Elon Musk kehilangan seketika ‘takhta’ individu terkaya di dunia

Elon Musk.

PARIS: Pemilik Tesla, Elon Musk kehilangan seketika tempat teratas dalam senarai jutawan Forbes pada 7 Disember kepada Bernard Arnault, yang mana keluarganya memiliki syarikat fesyen mewah terkemuka dunia, LVMH.

Dengan saham teknologi AS merosot apabila kadar faedah dan kebimbangan kemelesetan meningkat, kekayaan Musk secara ringkas jatuh di bawah kekayaan keluarga Arnault.

Namun begitu pada jam sekitar 1730 GMT, Musk kembali berada di atas pada AS$184.9 bilion (RM814.29 bilion), diikuti Arnault dan keluarganya pada AS$184.7 bilion (RM813.41 bilion).

Sementara itu tokoh perniagaan India, Gautam Adani, berada di tempat ketiga dengan AS$134.8 bilion (RM593.65 bilion), diikuti Pengasas Amazon Jeff Bezos di tempat keempat dengan AS$111.3 bilion (RM490.16 bilion).

Arnault juga telah mendahului senarai Forbes selama beberapa jam pada 2021.

Kumpulan LVMH miliknya, dengan berpuluh-puluh jenama termasuk Louis Vuitton, Givenchy dan Kenzo, terus mencatatkan pertumbuhan hasil dan keuntungan yang kukuh walaupun menghadapi masalah ekonomi global terkini.

Kekayaan Musk terutamanya adalah berkaitan dengan harga saham Tesla, dan usahawan itu telah menjadi kontroversi selepas mengambil alih Twitter pada akhir Oktober.

Kedudukan senarai individu kaya yang disusun oleh penyedia data kewangan Bloomberg juga memaparkan Musk dan Arnault berkedudukan hampir sama.

Mengikut ranking Bloomberg, dikira selepas pasaran AS ditutup pada Selasa, Musk mendahului AS$178.9bilion (RM787.87 bilion), diikuti Arnault pada AS$165.1 bilion (RM727.10 bilion). – AFP

Loading...
Terkini