comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Empat Syarikat Mantapkan Lagi Rangkaian 5G Di Malaysia

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Perjanjian langganan saham (SSA) membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) daripada empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) akan menjadikan infrastruktur rangkaian 5G di Malaysia semakin kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications Sdn Bhd (YES), Wing K Lee, berkata pegangan ekuiti itu akan membolehkan capaian 5G di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, sekali gus memberikan kelebihan kepada rakyat.

Beliau berkata, sebagai pengendali MNO yang mempunyai pegangan ekuiti terbesar iaitu sebanyak 20 peratus, ini akan membolehkan YES memperluaskan penguasaan pasarannya.

Katanya, YES juga menjadi penyedia MNO tunggal yang menyediakan perkhidmatan 5G kepada pengguna ketika ini.

“Perjanjian empat MNO ini akan menjadikan sasaran capaian 5G akan lebih cepat dengan sasaran sebanyak 40 peratus liputan pada tahun ini dan 80 peratus menjelang 2024.

“Sebagai negara membangun, kita memerlukan sambungan 5G yang kukuh dan pantas kerana ingin bergerak ke hadapan. 5G akan memainkan peranan besar dalam mengubah pelbagai aktiviti di masa hadapan.

“Justeru, YES berbangga menjadi antara pengendali MNO yang sudah menyediakan rangkaian 5G kepada rakyat,” katanya selepas merasmikan Pusat Pengalaman Yes di pusat beli-belah Lot 10 dekat sini, hari ini.

Empat MNO baru-baru ini memeterai SSA membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam DNB.

Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd masing-masing memegang 12.5 peratus kepentingan manakala YES dan Telekom Malaysia Bhd (TM) pula masing-masing sebanyak 20 peratus.

Baki 35 peratus akan dipegang oleh kerajaan yang juga pemegang saham khas yang memberi pelbagai hak dan kepentingan serta melibatkan aspek seperti pemilikan, penjualan atau pemindahan saham di pihak kerajaan.

Di bawah syarat-syarat SSA dan struktur tadbir urus yang dipersetujui oleh semua pihak, mana-mana MNO tunggal tidak boleh mempunyai pegangan melebihi 20 peratus dalam DNB dan sekiranya berlaku penggabungan antara MNO terbabit, entiti gabungan tidak boleh mempunyai pegangan melebihi 25 peratus. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini