comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ericsson buka kemudahan peralatan radio 5G di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Pemimpin teknologi 5G global, Ericsson buat julung kali memulakan pengeluaran peralatan radio 5G di Malaysia, kemudahan pengeluaran pertamanya di Asia Tenggara.

Pengeluaran radio bersepadu antena 5G Massive MIMO itu akan dibuat menerusi kerjasamanya dengan syarikat Flex yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) di Perai, Pulau Pinang.

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro, berkata Ericsson ialah peneraju dunia dalam teknologi 5G yang kini menjanakan 147 rangkaian langsung di 63 negara, termasuk Malaysia.

Katanya, pengeluaran peralatan radio 5G global Ericsson di Malaysia adalah sumbangan sosioekonomi tambahannya kepada Malaysia dan menandakan yang terbaharu dalam pelbagai inisiatif untuk membawa pengalaman global, kepakaran serta pandangan syarikat itu ke negara ini dalam menyokong cita-cita kerajaan menjadi pemimpin digital.

“Malaysia adalah pasaran penting bagi Ericsson dan sektor pembuatan domestik di Malaysia akan menyumbang kepada ekonomi tempatan melalui pekerjaan dan pemindahan pengetahuan teknikal kepada tenaga kerja tempatan dalam bidang seperti pembuatan, kejuruteraan produk dan ujian peralatan.

“Ericsson akan terus menyampaikan rangkaian 5G yang selamat, mampu milik, bertaraf dunia dan terbaik untuk pengalaman pelanggan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Majlis pelancaran kemudahan pengeluaran itu disempurnakan Ketua Menteri Pulai Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching yang mewakili Menteri, Fahmi Fadzil dan Duta Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom.

Ericsson baru-baru ini mengungguli kedudukan dalam Frost Radar: Pasaran Infrastruktur Rangkaian 5G Global untuk tahun ketiga berturut-turut.

Ia juga dinamakan peneraju dalam laporan 2023 Magic Quadrant bagi Infrastruktur Rangkaian 5G untuk Penyedia Perkhidmatan Komunikasi oleh Gartner, tahun ketiga berturut-turut Ericsson memperoleh pengiktirafan ini daripada firma penyelidikan dan penasihat bebas.

Loading...
Terkini