comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

EU kaji semula rundingan FTA bersama Malaysia

Oleh: Nurin Farhana Rishdy 

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) sedang mengkaji semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan EU (MEUFTA) yang telah tertangguh selama beberapa tahun.

Timbalan Ketua Misi Delegasi EU ke Malaysia, Timo Goosmann, berkata kedua-dua pihak perlu menganalisis perubahan yang berlaku di dunia selain mencari jalan untuk mencapai persetujuan dalam rundingan semula FTA.

Timbalan Ketua Misi Delegasi EU ke Malaysia, Timo Goosmann.

“Saya sangat optimis, jika kita dapat mencari cara untuk bersetuju mengenai syarat-syarat untuk memulakan rundingan ini, Kita boleh mencapai persetujuan FTA yang bermakna dan mencipta peluang serta kemakmuran bagi kedua-dua pihak.” katanya selepas majlis menandatangani Surat Niat bagi merasmikan perkongsian strategik dengan Kumpulan Sunway di sini, hari ini.

Tambahnya, hubungan antara Malaysia dan EU adalah pelbagai hala yang melibatkan perkongsian dalam beberapa bidang seperti kemampanan.

Kemampanan adalah salah satu bidang utama yang perlu ditekankan untuk perubahan masa depan.

“Selain itu, terdapat banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan termasuk pendidikan, perdagangan, dan pelaburan. Saya yakin banyak manfaat yang boleh diraih oleh EU dan Malaysia daripada FTA ini,” katanya lagi.

Terdahulu, rundingan Malaysia-EU FTA (MEUFTA) dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2010 dan sebanyak lapan pusingan run­dingan diadakan antara Disember 2010 dan September 2012.

Rundingan itu bagaimanapun menemukan jalan buntu pada 2012 kerana kedua-dua pihak kehabisan pilihan rundi­ngan mereka pada masa itu.

Selepas itu, dipersetujui bahawa rundingan akan disambung semula apabila mandat baharu atau fleksibiliti tersedia untuk kedua-dua pihak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini