KUALA LUMPUR: Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd berkata organisasi EY global telah melancarkan Pusat EY untuk Rantaian Pembekalan Mampan yang berpangkalan di Singapura.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, Pusat EY itu berdedikasi untuk membantu syarikat-syarikat di Asia Tenggara mempercepatkan penggunaan amalan rantaian bekalan yang mampan dengan membekalkan mereka panduan praktikal bagi mencapai kejayaan secara pantas dan melaksanakan strategi jangka panjang.
“Memanfaatkan kerjasama strategik dengan rakan kongsi pakatan, pusat itu menawarkan penyelesaian teknologi yang inovatif disokong oleh cerapan penyelidikan tentang rantaian bekalan terkini dan trend kemampanan untuk membantu perniagaan berada di hadapan,” kata kenyataan itu.
Bidang tumpuan yang ditekankan termasuklah kebolehkesanan dan keterlihatan, penyahkarbonan rantaian bekalan, penciptaan model perniagaan pekeliling dan penilaian cukai serta insentif-insentif baharu.
Rakan Pengurusan Serantau EY Asean dan Rakan Pengurusan Negara Singapura Liew Nam Soon berkata pusat itu berada pada kedudukan yang tepat untuk menyokong syarikat-syarikat di rantau tersebut.
“Kami berharap untuk turut menyumbang kepada ekosistem rantaian bekalan yang lebih luas dan membantu sektor dan tenaga kerjanya memperdalam keupayaan dalam kemampanan melalui teknologi inovatif dan pendekatan kolaboratif,” katanya.
Rakan Kongsi Ernst & Young LLP (Perubahan Iklim dan Perkhidmatan Kemampanan) Praveen Tekchandani berkata Asia Tenggara memainkan peranan penting dalam usaha penyahkarbonan global.
“Lebih daripada 70 peratus jejak organisasi adalah daripada pelepasan tidak langsung aktiviti rantaian bekalan huluan dan hilirannya. Oleh itu, pengurusan rantaian bekalan adalah bahagian penting dalam mana-mana pelan hala tuju penyahkarbonan korporat,” kata Praveen.